KYRGYZSTAN, 14 MAC – Kyrgyzstan dan Tajikistan menandatangani perjanjian sempadan kelmarin yang dilihat sebagai kunci kepada kestabilan Asia Tengah, satu langkah yang menyusuli konflik tiga dekad antara dua bekas republik Soviet itu mengenai sumber air dan tanah.
Perjanjian itu yang ditandatangani di Bishek oleh Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov dan rakan sejawatannya dari Tajik, Emomali Rakhmon memberikan petanda bahawa hubungan antara dua sekutu Rusia itu bertambah baik sejak pertembungan terakhir mereka pada musim luruh 2022.
“Dari sekarang dan selamanya, sempadan antara Kyrgyzstan dan Tajikistan akan menjadi sempadan persahabatan abadi,” kata Japarov.
Pejabat Japarov berkata perjanjian itu akan menyumbang kepada pengukuhan keselamatan, kestabilan dan pembangunan mampan di Kyrgyzstan dan Tajikistan, dan di seluruh Asia Tengah.
Kedua-dua pemimpin berkata hubungan udara terus akan disambung semula dan sempadan itu, ditutup hampir empat tahun lalu pada Mei 2021, akan dibuka semula.
Perjanjian itu juga melibatkan pertukaran wilayah.
Kyrgyzstan akan menerima kira-kira 25 kilometer persegi dari Tajikistan sebagai pertukaran untuk jumlah tanah yang sama atau untuk akses yang lebih baik kepada sumber air yang dikongsi, kata pihak berkuasa Kyrgyzstan.
Perjanjian itu menetapkan bahawa jalan tertentu akan ditetapkan sebagai neutral, dan kedua-dua pihak tidak boleh menghalang penggunaan kemudahan pertanian atau tenaga di kawasan sempadan.
Rakhmon memuji perjanjian bersejarah itu, yang dimeterai 33 tahun selepas kejatuhan Kesatuan Soviet. – AFP
