Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Perwakilan media tempatan, hari ini, diberi peluang untuk merasakan sendiri kehebatan Mitsubishi L200 Sportero baharu menerusi sesi uji pandu yang dikendalikan oleh GHK Motors selaku pengedar sah tunggal kende-raan Mitsubishi di negara ini.
Hadir bagi mengalu-alukan dan menyampaikan taklimat kepada perwakilan media yang mengambil bahagian di Bilik Eksekutif Melati, Hotel Mulia ialah Eksekutif Pemasaran GHK, Awang Ahmad Faezul Imtiaz bin Awang Adam yang memberikan gambaran umum dan beberapa pandangan teknikal serta ciri-ciri Sportero.
Mitsubishi L200 Sportero adalah trak pikap pacuan empat roda double-cab yang direka bagi kelasakan daripada gril hingga belakang. Ini merupakan generasi keenam Mitsubishi L200 Sportero yang juga dikenali sebagai Triton atau Strada di pasaran antarabangsa.
Dengan membawa slogan Engineered Beyond Tough, Mitsubishi L200 Sportero mengetengahkan penampilan yang tegap dan berani.
Di samping model-model terkini Mitsubishi yang lain, gril depan L200 Sportero direka dengan versi tanda dagangan Dynamic Shield terkini Mitsubishi Motors Corporation dengan rekaan geometrik yang memaparkan keseimbangan antara dinamisme dan kuasa.
Reka bentuk Dynamic Shield tersebut menawarkan perlindungan yang lebih besar untuk penumpang, pejalan kaki, dan kenderaan itu sendiri.
L200 Sportero dikuasakan enjin MIVEC 2.4 liter. Enjin diesel common rail DOHC itu adalah turbocharged dan intercooled untuk prestasi dominan dan kecekapan optimum, yang memacu tork sehingga 430Nm pada 2500rpm dan menjana 133kW pada hanya 3500rpm.

