La Lakers terus bergelut

LOS ANGELES, 7 MEI – Paul George menjaringkan mata tertinggi untuk pasukannya dengan 24 mata ketika Los Angeles Clippers menewaskan Los Angeles Lakers 118-94 kelmarin untuk menyapu bersih siri musim antara dua seteru California itu.

Sementara Clippers kembali bangkit pada masa yang tepat, musim Lakers semakin menurun dengan dua bintang terbesar mereka, LeBron James dan Anthony Davis mengalami kecederaan.

“Saya hanya datang ke sini untuk memenangi kejuaraan dan jika kami tidak melakukannya kami perlu kembali semula ke peringkat awal. Kami semua mengetahui perkara tersebut semasa di bilik loker,” kata Rajon Rondo, salah seorang dari tujuh pemain Clippers yang menjaringkan mata dengan dua angka.

Berita buruk semakin bertambah buat Lakers kelmarin apabila Davis meninggalkan perlawanan pada suku pertama dan tidak kembali kerana kecederaan. James dan Davis terlepas sebahagian besar musim ini dan sekali lagi juara bertahan NBA itu dilihat semakin tercicir tanpa pemain utama mereka.

Bukan setakat kembali bangkit, Clippers kembali menguasai perlawanan.

Aksi Kawhi Leonard semasa membuat percubaan menjaringkan mata buat Clippers ketika bertemu Lakers, baru-baru ini. – AP

“Kami mempunyai DNA kemenangan,” kata Rondo. “Hanya menunggu untuk bersatu dan percaya antara satu dengan yang lain.”

Pemain bintang, Kawhi Leonard bermain tiga perlawanan berturut-turut selepas disisihkan sembilan perlawanan pada April kerana kecederaan dan Patrick Beverley bermain perlawanan kedua sejak menyertai semula pasukan semasa kemenangan 105-100 ke atas Toronto, Selasa lalu.

Leonard mencatat 15 mata, lapan rebound dan enam assist ketika Clippers menundukkan Lakers semasa musim biasa buat kali pertama sejak 2016.

Kyle Kuzma menjaringkan 25 mata untuk menjadi salah seorang dari di pemain Lakers menjaringkan mata berganda.

Kedua-dua pemain, James dan Davis membuat kepulangan setelah diketepikan dari kecederaan yang panjang untuk kembali beraksi di lewat musim apabila kelibat mereka ditagih pasukan.