BARCELONA, 22 OKT – Rancangan La Liga untuk menganjurkan perlawanan Barcelona di Miami pada Disember telah dibatalkan disebabkan ‘ketidaktentuan’ mengenai perlawanan itu di Sepanyol, menurut kenyataan liga utama Sepanyol kelmarin.
Juara bertahan Barca dijadual menentang Villarreal di Amerika Syarikat pada 20 Disember, yang sepatutnya menjadi perlawanan Liga Eropah pertama dimainkan di luar benua itu.
Menurut La Liga, penganjur perlawanan itu membuat keputusan untuk membatalkan penganjuran acara berkenaan disebabkan ‘ketidaktentuan yang timbul di Sepanyol sejak beberapa minggu kebelakangan ini’.
Liga utama Sepanyol itu menyatakan mereka ‘amat kesal kerana projek yang mewakili peluang bersejarah dan tiada tandingan untuk membawa bola sepak Sepanyol ke pentas antarabangsa tidak dapat diteruskan’.
Tiket untuk perlawanan di Stadium Hard Rock dijadualkan untuk mula dijual kelmarin, namun pihak penganjur memaklumkan pra-jualan ‘ditangguhkan’ sebelum memaklumkan rancangan itu akhirnya dibatalkan.
Perlawanan itu kini akan diadakan seperti biasa di laman sendiri Villarreal, Estadio de la Ceramica. – AFP


