Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    La Liga: Peluang Real rawat luka

    MADRID, 3 Okt – Kapten Real Madrid, Sergio Ramos memberikan amaran bahawa mereka akan bangkit walaupun prestasi pasukan merosot teruk sehingga ketinggalan lapan mata di belakang Barcelona, dalam saingan La Liga, hanya selepas 10 perlawanan.

    Kekalahan 1-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi semalam menyusul selepas kekalahan 1-2 kepada pasukan baru dipromosi, Girona.

    Ia adalah kali kedua Zinedine Zidane tewas dua kali berturut-turut dalam kerjaya awalnya sebagai pengurus.

    “Real Madrid sentiasa bangkit dan meletakkan setiap orang di tempat sepatutnya. Mereka yang menidakkan kemampuan kami akan tahu kedudukan sebenar mereka,” kata Ramos.

    Madrid seharusnya kembali menemui rentak kemenangan apabila menerima kunjungan Las Palmas ke Santiago Bernabeu pada Ahad. Ini kerana, pengendali Las Palmas, Pako Ayestaran diambang kehilangan jawatannya selepas empat kekalahan liga berturut-turut sejak dilantik September lalu.

    Reaksi kapten Real, Sergio Ramos selepas berakhirnya aksi Liga Juara-Juara di mana Real tewas 3-1 dalam peringkat Kumpulan H. – AP

    Bagaimanapun prestasi awal musim yang hambar Real menimbulkan persoalan mengenai dasar pembelian pemain pada musim panas.

    Ketika pesaing-pesaing Liga Juara-Juara lain membelanjakan ratusan juta, Madrid mencatat keuntungan 75 juta euro hasil penjualan Alvaro Morata, James Rodriguez, Pepe dan Danilo.

    Real meneruskan polisi mereka sejak beberapa musim lalu dengan mengambil pemain muda terbaik Sepanyol.

    Namun, Cristiano Ronaldo berpendapat skuad ketika ini kurang berpengalaman ber-banding skuad yang meraih kejuaraan berganda La Liga dan Liga Juara-Juara pertama dalam tempoh 59 tahun, musim lalu.

    “Kelompok pemain baru yang tiba mempunyai potensi besar. Pepe, Morata, James menjadikan kami lebih kuat, tetapi mereka yang ada sekarang lebih muda,” kata Ronaldo.

    “Ia bukan skuad yang teruk, ia hanya tidak mempunyai pengalaman yang sama dan itu sesuatu yang amat penting. Ini bukan satu alasan, tetapi tidak ada sebab untuk kami panik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda