GENEVA, 2 SEPT – Fenomena cuaca La Nina, yang menyebabkan penurunan suhu permukaan laut, dijangka ‘menjejaskan corak cuaca dan iklim bermula September,’ menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).
La Nina, yang bermaksud ‘gadis kecil’ dalam bahasa Sepanyol, merujuk kepada corak iklim semula jadi yang memberikan kesan penyejukan, manakala pasangannya El Nino (budak lelaki) menyebabkan pemanasan air di kawasan Khatulistiwa Lautan Pasifik, yang turut mempengaruhi angin, tekanan udara dan taburan hujan serta memberi kesan kepada cuaca di kebanyakan bahagian dunia.
El Nino boleh menyebabkan kemarau dan hujan lebat luar biasa, yang turut meningkatkan suhu global, manakala La Nina biasanya memberi kesan sebaliknya.
“Keadaan neutral, iaitu bukan El Nino mahupun La Nina, yang berlaku secara berterusan sejak Mac 2025 dengan anomali suhu permukaan laut kekal hampir pada paras purata di sepanjang Khatulistiwa Pasifik,” kata WMO dalam satu kenyataan akhbar.
“Namun, keadaan ini mungkin secara beransur-ansur berubah kepada keadaan La Nina dalam beberapa bulan akan datang, berkemungkinan bermula pada September 2025,” tambah kenyataan itu.
Menurut WMO, terdapat sebanyak 55 peratus kemungkinan suhu permukaan laut akan menurun di kawasan Khatulistiwa Pasifik.
Berjuta-juta nyawa dan nilai kerugian berbilion dolar boleh diselamatkan di seluruh dunia sekiranya semua negara bersedia lebih awal terhadap kedua-dua fenomena cuaca ini dan mengambil langkah pencegahan, menurut pertubuhan itu. – Bernama


