LABUAN, 19 DIS – Aktiviti perniagaan di zon ekonomi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC), terjejas akibat masalah keterhubungan internet yang lemah sejak hampir sedekad lepas.
Pengerusi Persatuan Syarikat-Syarikat Amanah Labuan (ALTC), Datuk Chin Chee Kee berkata sebarang masalah atau kegagalan capaian internet itu adalah satu bencana untuk perniagaan, termasuk mengundang kerugian pendapatan, menjejaskan produktiviti selain rungutan pelanggan.
“Di sebalik risiko ke atas banyak perniagaan, isu ini masih belum selesai dan seakan tiada usaha konkrit bagi menanganinya.
“Labuan adalah sebuah wilayah Persekutuan sepertimana Puytrajaya dan Kuala Lumpur dan merupakan pusat kewangan antarabangsa dan hab minyak dan gas serantau yang terkemuka. Malangnya, sambungan internet di sini adalah lemah,” katanya kepada Bernama.
Chin yang juga penaung Persatuan Pengamal Media Labuan Media berkata syarikat-syarikat amanah misalnya, terutama yang mempunyai pelanggan seperti firma antarabangsa, terpaksa mengharungi isu sambungan internet yang perlahan setiap hari.
“Memang tidak dinafikan bahawa internet di sini adalah perlahan. Keadaan ini amat menyukarkan apalagi kita berada dalam dunia yang dipacu oleh teknologi. Sambungan internet yang lemah ini tidak hanya menyebabkan kita hilang sabar, tetapi boleh menjejaskan perniagaan.
“Oleh itu, mempunyai sambungan internet yang pantas adalah keutamaan di kawasan ini dan menjadi penyumbang utama bagi pertumbuhan perniagaan.
“Malah, perniagaan dengan sambungan yang lemah akan berdepan masalah, terutama apabila berurusan dengan pelanggan di luar kawasan (bagi tujuan proses pembayaran dan persidangan video). Akibatnya, reputasi mereka juga boleh terjejas,” katanya. – Bernama


