Thursday, April 17, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Labuan berpotensi jadi pelabuhan tuna utama di Asia Tenggara

    LABUAN, 10 APRIL – Labuan sedang muncul sebagai pesaing yang kuat untuk menjadi hab pelabuhan tuna utama Asia Tenggara berikutan lokasinya yang strategik, pelabuhan yang dalam serta kehadiran beberapa agensi kerajaan yang mampu menyokong operasi eksport dan perikanannya.

    Labuan yang terletak berdekatan dengan kawasan perikanan tuna yang kaya di perairan Sabah dan infrastruktur pemprosesan makanan laut yang mantap di pulau ini, dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang menjadi hab serantau bagi industri tuna global.

    Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Food Industries Sdn Bhd, Lee Wei Sheng berkata pulau itu mempunyai semua elemen penting ke arah menjadi pelabuhan tuna antarabangsa, yang boleh memberi perkhidmatan kepada kawasan Suruhanjaya Perikanan Pasifik Barat dan Tengah (WCPFC), yang merupakan salah satu tempat penangkapan tuna terkaya di dunia.

    “Kedudukannya yang terletak berhampiran dengan perairan yang kaya dengan tuna di Sabah, ia juga merupakan pelabuhan semula jadi yang dapat menampung armada penangkapan ikan tuna yang besar, kapal pembawa serta kontena, menjadikannya ideal untuk pembangunan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Lee berkata Labuan Food Industries yang berpengalaman lebih dari 35 tahun dalam pasaran tuna serta sektor pembuatan, bersedia untuk menerajui inisiatif itu dan telah memberi taklimat cadangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, semasa lawatan beliau ke kemudahan pemprosesan tuna di Patau-Patau.

    “Infrastruktur sedia ada di Labuan termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Perikanan, MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) termasuk agensi-agensi berkaitan yang lain, adalah penting dalam memastikan pemprosesan dokumentasi eksport serta pensijilan kesihatan yang pantas untuk produk-produk tuna,” katanya. – Bernama

    Gambar menunjukkan kerja-kerja pemprosesan tuna dijalankan di Labuan Food Industries Sdn Bhd pada 10 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda