LABUAN, 15 JAN – Pulau bebas cukai, Labuan berpotensi menjadi Singapura kedua melalui perniagaan antarabangsa dengan sektor kewangan, industri mi-nyak dan gas serta maritim yang berkembang pesat.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC), Rithuan Ismail berkata kedudukan geografi Labuan yang meng-hubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan negara Asean lain akan menjadi kelebihan bagi pulau tersebut memberikan perkhidmatan sebagai destinasi ekonomi berdaya maju serantau pada masa hadapan.
“Perusahaan asing boleh menggunakan Labuan sebagai hab untuk menembusi pasaran antarabangsa dan mengembangkan perniagaan mereka memandangkan lokasinya yang strategik dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA),” katanya pada majlis pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan peringkat Labuan di sini kelmarin.
Labuan, sebagai pelabuhan bebas, mempunyai dasar mesra perniagaan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonominya. – Bernama