Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Labuan FSA pertingkat usaha perangi skim pelaburan meragukan, penipuan

    LABUAN, 3 SEPT – Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mempertingkatkan usaha memerangi skim pelaburan yang meragukan dan penipuan pelaburan asing.

    Labuan FSA juga giat menasihatkan orang ramai supaya kekal berwaspada kerana skim itu sering memperdayakan mangsa dengan janji pulangan yang menarik.

    Berdasarkan laporan media baru-baru ini, satu skim pelaburan pertukaran mata wang asing yang besar didakwa telah menipu kira-kira 400 individu, menyebabkan kerugian keseluruhan sekitar RM100 juta, jelasnya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.

    Sehubungan itu, agensi tersebut menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dan penilaian dengan teliti dalam kalangan pelabur.

    “Labuan FSA amat menasihatkan pelabur supaya memeriksa dengan teliti kesahihan mana-mana peluang pelaburan, terutama yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

    “Labuan FSA mencadangkan agar pelabur kerap melawat laman webnya untuk kemas kini terkini mengenai Senarai Amaran Pelabur dan Notifikasi Sekatan Perniagaan sebelum membuat keputusan kewangan,” menurutnya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda