Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Labuan harus contohi Pulau Pinang

    LABUAN, 20 FEB – Labuan mempunyai segala yang diperlukan untuk maju dari segi ekonomi dengan kesalinghubungan dan pembangunan infrastruktur yang lebih baik, demikian menurut Dewan Perniagaan Labuan (LCC).

    Pengerusinya, Daniel Doughty berkata Labuan, sebagai hab minyak dan gas serantau serta pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa (IBFC), boleh mencapai tahap yang lebih tinggi.

    “Kita perlu meningkatkan kesaling-hubungan melalui udara, laut dan darat. Kita mesti menghubungkan pulau ini dengan bandar-bandar utama di rantau ini.

    “Kita mesti terus meyakinkan kerajaan bahawa Labuan mempunyai potensi untuk setanding dengan bandar maju lain seperti Pulau Pinang yang dihubungkan dengan jambatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Beliau berkata cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah akan melonjakkan kemajuan pembangunan ekonomi di pulau ini.

    Labuan mempunyai potensi untuk setanding dengan bandar maju lain seperti Pulau Pinang yang dihubungkan dengan jambatan. – Bernama

    “Memandangkan Labuan berhasrat untuk mempelbagaikan ekonominya, jambatan yang dicadangkan itu akan memberikan rangsangan yang ketara kepada pembangunan pulau itu. Jambatan itu akan meningkatkan kesalinghubungan, menarik pelaburan baharu dan menjana pekerjaan merentasi pelbagai sektor seperti pelancongan, logistik dan pertanian.

    “Selain itu, ia akan menjadikan pengangkutan lebih cekap dan kos efektif untuk kedua-dua penduduk tempatan dan perniagaan,” katanya.

    Doughty berkata dewan itu yakin jambatan itu akan merealisasikan potensi sepenuhnya pulau itu sebagai hab ekonomi serta merangsang pertumbuhan di rantau ini.

    “Jambatan itu bukan untuk kemewahan tetapi satu keperluan kepada Labuan iaitu kesalinghubungan atau ketersambungan yang lebih baik.

    Menyorot kisah kejayaan Pulau Pinang dan jambatannya pada zaman awal yang kini berjaya menarik lebih 350 syarikat multinasional (MNC) dan lebih 4,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ia berfungsi sebagai kajian kes yang hebat untuk potensi mengadakan jambatan baharu ke Labuan dari tanah besar Sabah. Pulau Pinang mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh dan bertenaga.

    Beliau berkata dengan membina jambatan ke Sabah, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah boleh menganggap Labuan sebagai koridor ekonomi baharu yang akan memberi perkhidmatan kepada bandar dan masyarakat tanah besar berhampiran.

    “Menarik MNC dan PKS untuk melabur dan beroperasi di koridor kawasan baharu akan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan perdagangan dan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua tanah besar Sabah dan Labuan.

    Beliau berkata mengikut jejak kejayaan Pulau Pinang, melabur dalam infrastruktur baharu ini akan membuka potensi wilayah itu dan membawa peluang baharu kepada penduduk. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...