KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa (Labuan IBFC) telah mencatat 43 syarikat insurans tawanan dengan premium teragregat sehingga AS$500 juta (AS$1= RM4.30) pada suku kedua 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif, Danial Mah Abdullah berkata, jumlah itu telah meningkat daripada 39 syarikat insurans tawanan dengan premium bertulis teragregat sebanyak US$348.6 juta pada 2016.
Syarikat insurans tawanan ialah satu entiti insurans atau insurans semula, milik penuh secara langsung atau tidak langsung oleh entiti perindustrian, komersial atau kewangan.
Ia menawarkan perlindungan insurans atau insurans semula untuk risiko, aset dan liabiliti bagi syarikat induknya.
Danial berkata, kini syarikat insurans tawanan yang didaftar di Labuan IBFC melibatkan pelbagai sektor, termasuk penerbangan serta minyak dan gas.
“Kira-kira 75 peratus jumlah sumbangan pasaran tawanan adalah daripada pemilik risiko di Asia,” katanya pada sidang akhbar sempena Persidangan Syarikat Insurans Tawanan Asia 2017 pertama di sini, hari ini.
Danial berkata, Labuan IBFC telah memperoleh tiga syarikat insurans tawanan baharu yang dilesenkan tahun lepas.
“Menurut kajian ‘Sikap Terhadap Insurans Tawanan di Asia’ yang dijalankan Captive Review dengan kerjasama Labuan IBFC, hanya lapan syarikat insurans tawanan telah dilesenkan di Asia Pasifik tahun lalu.
“Apabila tiga daripada lapan syarikat insurans tawanan baharu dicatat tahun lepas, saya berpendapat prestasi kita agak baik,” tambahnya. – Bernama