LABUAN, 28 Dis – Seramai 64 orang dari 22 kampung yang rumah mereka mengalami kerosakan teruk akibat ribut tropika baru-baru ini menerima bantuan kewangan berjumlah RM44,300 atau antara RM500 dan RM2, 500 seorang daripada Perbadanan Labuan.
Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata struktur dan bumbung rumah mereka diterbangkan oleh angin kencang dan mengalami kerosakan akibat dahan-dahan yang jatuh dan pokok yang tercabut.
“Kami benar-benar memahami kesan terhadap kehidupan penduduk terjejas banjir dan bencana alam yang terpaksa menghadapi keadaan cuaca melampau yang memberi kesan secara langsung kepada mereka.
“Kami berharap sumbangan ini akan membantu mengurangkan beban untuk memperbaiki rumah mereka,” kata beliau ketika menyampaikan bantuan itu di sini hari ini. – Bernama