LABUAN, 27 JULAI – Labuan hari ini selesai memvaksin penuh 80 peratus populasi dewasa, menjadikan pulau bebas cukai itu Wilayah Persekutuan dan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19.
Wilayah Persekutuan itu telah memberi suntikan vaksin kepada 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan sebagai layak untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan menyifatkan program ini sebagai tugas yang sukar tetapi mengakui kerjasama berpasukan yang hebat telah membuahkan kejayaan.
Pengerusi CITF Labuan Rithuan Ismail berkata sebanyak 54,800 (80 peratus) daripada jumlah populasi yang layak untuk divaksin, telah menerima dua dos vaksin. “Kami gembira dapat mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran iaitu 30 Julai.
“Pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di pulau ini yang peka terhadap kepentingan vaksinasi COVID-19, serta kerja berpasukan daripada pasukan petugas khas dan masyarakat sebagai sukarelawan yang dinamakan Privo Team (Prihatin Volunteers).
“Jumlah penduduk yang divaksin pada Jun kurang daripada 14,000 tetapi meningkat dengan drastik kepada 40,800 dalam masa 37 hari dan (terus meningkat) hari ini,” katanya kepada Bernama selepas menyaksikan seorang individu menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, bagi melengkapkan imunisasi terhadap 54,800 orang, di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan di sini.
PICK Labuan dilancarkan pada 27 Feb lepas oleh Senator Datuk Bashir Alias yang menjadi individu pertama di Labuan menerima dos pertama vaksin.
Secara keseluruhannya, program vaksinasi di Labuan berjalan lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kes dan kemunculan varian Delta.
Setakat semalam, Labuan merekodkan jumlah kumulatif 9,607 kes COVID-19 dan 146 kematian akibat wabak itu. – Bernama
