Labuan sedia beri vaksin kepada kanak-kanak, remaja

LABUAN, 30 JULAI – Selepas kejayaan mencapai imuniti kelompok bagi membendung COVID-19, Wilayah Persekutuan Labuan kini bersiap sedia melancarkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun sebaik mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan Persekutuan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata rancangan pelaksanaan vaksinasi yang komprehensif telah disusun untuk mencapai hampir 100 peratus imuniti bagi kira-kira 103,000 penduduk di pulau bebas cukai itu. 

“Kami sudah bersedia untuk menawarkan vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun, hanya menunggu kebenaran dari kerajaan Persekutuan sahaja,” kata kepada Bernama hari ini.

Pada 27 Julai lepas, Labuan telah lengkap memberi vaksin kepada 80 peratus penduduk dewasanya sekali gus menjadi yang pertama dalam kalangan Wilayah Persekutuan dan negeri yang mencapai imuniti kelompok bagi memerangi COVID-19.

Jumlah itu meningkat kepada 82.44 peratus atau 56,471 daripada 68,500 penduduk dewasa yang layak untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), lengkap menerima dos kedua; dan sehingga semalam sekurang-kurangnya 97.08 peratus atau 66,500 orang dewasa menerima vaksin dos pertama. – Bernama

Anggota Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan (MPPWPL) ketika mendekati penduduk dalam menjalankan gerak kerja kempen untuk mencapai 100 peratus vaksinasi Labuan di Kampung Bukit Kuda. – Bernama