Tuesday, November 12, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ladang ikan Poland tandingi kaviar Rusia

    RUS, POLAND – Ketika Moscow disenarai hitamkan sejak ia menceroboh Ukraine, pengeluar utama kaviar Eropah mahu menamatkan, semua sekali, makanan istimewa tradisional yang mempunyai kaitan dengan Rusia.

    “Bagi kebanyakan orang, kaviar bermaksud Rusia, tetapi itu bukanlah masalahnya,” kata Agata Lakomiak-Winnicka, pengurus pemasaran dan jualan untuk Antonius Caviar dari Poland.

    Berpangkalan di perkampungan timur laut Rus, syarikat itu merupakan salah sebuah pengeluar makanan mewah terkemuka di dunia, setelah menghasilkan 42 tan kaviar hitam tahun lepas, lebih daripada mana-mana firma di Itali atau Perancis dan hampir sama seperti di China.

    “Kami pernah mendapatkan pelanggan yang tidak tahu di mana Poland terletak. Hari ini kami berada pada tahap yang berbeza,” kata Lakomiak-Winnicka.

    Syarikat itu mengeksport kebanyakannya ke Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Denmark dan juga membekalkan restoran taraf Michelin di seluruh dunia.

    Kelihatan pekerja mengasingkan ikan sturgeon betina daripada ikan jantan. – AFP
    Seorang pekerja memegang ikan sturgeon Rusia yang matang di sebuah ladang ikan di perkampungan Rus di utara Poland. – AFP
    Ikan sturgeon berenang di dalam lembangan di sebuah ladang ikan di perkampungan Patryki di utara Poland. – AFP
    Tin-tin yang mengandungi kaviar pelbagai warna oleh Antonius Caviar. – AFP
    Seorang pekerja memberi makan ikan sturgeon. – AFP

    Harga runcit berkisar antara 1,200 hingga 2,400 euro (AS$1,275 hingga AS$2,550) untuk kaviar sturgeon dan sehingga 8,000 euro untuk jenis albino. Cabaran syarikat ketika ini ialah, yang bersaing dengan pengeluar di seluruh dunia, ialah melawan ‘mitos kaviar Rusia’.

    “Ambil mana-mana kotak kaviar yang tertulis ‘tradisi Rusia’ atau ‘kaedah Rusia’ dan awda dapati 99 peratus daripadanya sebenarnya bukan berasal dari Rusia,” kata Lakomiak-Winnicka.

    Secara tradisinya, kaviar dibuat daripada telur daripada ikan sturgeon liar di Laut Kaspia dan Laut Hitam dengan pengeluar paling terkenal di Rusia dan Iran. Tetapi penangkapan ikan yang berlebihan dan pencemaran selama bertahun-tahun menyebabkan ikan sturgeon berisiko pupus, dan ia kini menjadi spesies yang dilindungi.

    Kebanyakan kaviar hari ini dihasilkan di ladang ikan dan tiada kaitan dengan Rusia. Tetapi pengguna masih mengaitkan kedua-duanya, satu cabaran bagi mereka kerana solidariti untuk Ukraine tidak lagi mahu membeli daripada Rusia.

    “Kerana peperangan… pelanggan bertanya tentang asal usul kaviar itu,” kata Wiktoria Yerystova-Rostkowska, yang memiliki sebuah kedai Rusia di luar Warsaw.

    “Mereka mahukan kaviar yang baik tetapi bukan dari Rusia,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa dia mendapatkannya dari Jerman.

    Kesatuan Eropah (EU) dan AS telah mengharamkan kaviar Rusia sebagai sebahagian daripada sekatan mereka terhadap Moscow, tetapi hampir mustahil untuk melaksanakannya kerana sekatan untuk melindungi ikan sturgeon liar.

    Kotak kaviar hijau dan hitam dipamerkan di tingkap kedai. Menampilkan lukisan ikan, label itu berbunyi ‘malossol’, bahasa Rusia iaitu ‘dibubuh sedikit garam’ dan nama kaedah tradisional yang digunakan untuk mengawet kaviar.

    Yerystova-Rostkowska berkata pemboikotan produk Rusia telah menyebabkannya bergelut untuk meneruskan perniagaan.

    “Ia tidak lagi menguntungkan. Pendapatan saya turun 80 peratus,” katanya.

    Lakomiak-Winnicka bagi pihaknya melihat boikot itu sebagai satu peluang.

    “Ia adalah peluang untuk menjelaskan bahawa kaviar tidak lagi berasal dari Rusia,” katanya.

    Sudah bertahun-tahun sejak kaviar Rusia boleh didapati di pasaran antarabangsa.

    “Laut Caspian tidak lagi mempunyai kepentingan dalam pengeluaran kaviar,” kata ketua Antonius, Marek Szczukowski. “Sebahagian besar kaviar yang dijual di seluruh dunia diperoleh daripada akuakultur,” termasuk di Rusia, tambahnya.

    Di ladang ikan Antonius di Rus, beribu-ribu ikan sturgeon, di mana panjangnya lebih daripada satu meter berenang di dalam terusan yang airnya jernih.

    Syarikat itu pada mulanya menternak ikan trout di sana, tetapi disebabkan perubahan iklim mereka beralih kepada ikan sturgeon, yang lebih suka air suam.

    Kaviar dituai selepas ikan mencapai kematangan, dengan keseluruhan operasi mengambil masa di bawah 20 minit. Pekerja mengekstrak kaviar, membasuh dan penggaraman, kemudian dikotakkan. Label itu berbunyi: ‘Dihasilkan dengan bangga di Poland’. Ia juga pernah memasukkan perkataan Rusia untuk menandakan spesies ikan tetapi mulai sekarang ia hanya akan menyebut kaviar ikan sturgeon.

    “Atas permintaan pelanggan, kami menukar label, agar mereka tidak merasa ragu dengan produk kami,” kata Lakomiak-Winnicka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda