Thursday, July 17, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ladang rampasan dikembalikan semula

    HEADLANDS, Zimbabwe – Ketika polis rusuhan datang, pekerja ladang warga Zimbabwe, Mary Mhuriyengwe, melihat kehidupannya berkecai lebur apabila pekerjaan dan rumahnya musnah di sebalik rampasan tanah semasa pemerintahan Robert Mugabe.

    Mhuriyengwe, 35, melihat anggota polis membawa senapang AK-47 dan melancarkan gas pemedih mata ke arah petani berkulit putih, Robert Smart, kemudian dihalau dari ladangnya pada bulan Jun 2017, malah pengusiran terakhir dalam tempoh 18 tahun telah mencetuskan keruntuhan ekonomi negara itu.

    Seorang janda dan ibu kepada dua orang anak, Mhuriyengwe sangat bergantung kepada pekerjaannya sebagai buruh am di ladang Smart’s Lesbury Estates di Headlands, 160 kilometer dari timur ibu negara Harare.

    “Ini satu-satunya pekerjaan yang saya ada dan saya tidak mempunyai suami untuk bergantung harap,” katanya, sambil merasa sedih. “Saya mendapati diri saya ini tidak mempunyai apa-apa.”

    Masih dalam keadaan kekejutan, Mhuriyengwe kini telah kembali semula bekerja di ladang tersebut dan tinggal di rumah sederhananya, selepas Mugabe digulingkan pada bulan November lalu dan Emmerson Mnangagwa menjadi presiden.

    Murid-murid kelihatan berlari-lari di sekitar kawasan sebuah sekolah di Lesbury Estates, Headlands, di timur ibu negara Harare, beberapa hari selepas petani berkulit putih yang telah diusir iaitu Robert Smart dibenarkan pulang dan kembali semula ke ladangnya. – AFP
    Smart telah memanggil semula 40 daripada 300 pekerja tetapnya dan telah menyediakan lima hektar dari ladangnya seluas 120 hektar untuk penanaman kentang. – AFP
    Program pembaharuan tanah di Zimbabwe telah bermula pada tahun 2000, dengan beribu-ribu petani terpaksa meninggalkan tanah mereka akibat diusir. – AFP

    Smart telah dibenarkan beroperasi semula dalam masa beberapa minggu sebelum pelantikan Mnangagwa, kumpulan pertama dalam golongan petani berkulit putih yang telah diberikan semula ladang mereka setakat ini.

    Namun ia masih lagi jauh daripada kepastian sama ada kes Smart ini akan menjadi perkara pertama yang membolehkan petani berkulit putih dan pekerja mereka lainnya untuk kembali semula melakukan kerja-kerja perladangan. Ladang Smart itu telah menjadi tumpuan bagi perebutan kuasa dalam parti pemerintah ZANU-PF yang melibatkan sekutu Mugabe, yang jatuh secara tiba-tiba daripada kekuasaannya, menyaksikan pengembalian hartanah kepada pemilik tanah yang telah dilaksanakan dengan cepat.

    Mnangagwa sendiri telah menyifatkan rampasan tanah Zimbabwe sebagai ‘tidak dapat ditarik balik’ dan menegaskan bahawa petani berkulit putih tidak akan mendapatkan tanah lama mereka.

    Sebaliknya, mereka digalakkan untuk mengambil ladang lain yang masih dalam pajakan baharu selama 99 tahun apabila pihak kerajaan berusaha untuk meningkatkan sektor pertanian dalam menghidupkan semula ekonomi yang dilanda kemerosotan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

    Para petani berkulit putih yang ditindas juga boleh mendapatkan pampasan secara tunai, namun dari mana wang itu datang masih tidak diketahui.

    Program pembaharuan tanah di Zimbabwe telah bermula pada tahun 2000, dengan beribu-ribu petani terpaksa meninggalkan tanah mereka oleh perusuh atau diusir.

    Mugabe berkata pembaharuan itu akan dapat membantu orang berkulit hitam, yang telah dimalukan semasa pemerintahan penjajah British.

    Tetapi pengkritik menyalahkan bahawa pengagihan semula tanah kepada mereka yang terjejas dalam pengeluaran pertanian telah membawa ekonomi Zimbabwe hancur dan mengakibatkan masalah inflasi yang sangat teruk, pengangguran dan emigrasi.

    Kebanyakan ladang yang telah disita telah diberikan kepada mereka yang taat setia kepada Mugabe atau dirosakkan.

    Kini petani berkulit putih dan pekerja mereka lainnya sedang menunggu sama ada kes seperti Smart ini menawarkan mereka sebarang harapan.

    Rob Smart memeriksa paip pengairan tanaman kentang di ladang Lesbury Estates. – AFP
    Seorang pekerja yang berada di ladang Rob Smart, menarik paip pengairan untuk tanaman kentang di Lesbury Estates. – AFP

    “Mungkin ada perubahan di masa hadapan namun seperti apa yang berlaku, tidak ada perubahan sama sekali,” kata bekas tukang kebun ternakan, Mike Clark kepada AFP.

    Ben Gilpin, pengarah Kesatuan Peladang Komersial, berkata dia tidak mengetahui mengenai mana-mana petani lain yang telah dibenarkan kembali semula ke ladang mereka. Apa sahaja nasib yang dihadapi oleh ladang lain, Mhuriyengwe hanya mampu tersenyum.

    Smart telah memanggil semula 40 daripada 300 pekerja tetap dan kasualnya dan telah menyediakan lima hektar dari ladangnya seluas 120 hektar untuk penanaman kentang.

    “Ia sungguh menyakitkan kami apabila Smart diusir dan kami diarah untuk meninggalkannya,” kata Mhuriyengwe yang juga antara kaum keluarga yang telah dipaksa untuk mencari perlindungan di kawasan pergunungan berdekatan.

    Anak perempuan Mhuriyengwe telah menghadiri persekolahan di ladang tersebut di mana Smart juga menjalankan sebuah klinik untuk para pekerja dan kaum keluarga.

    “Bayangkan trauma yang dihadapi kanak-kanak, pergi ke sekolah melalui semak belukar dan tidak mengetahui sama ada ibu bapa mereka masih akan berada di sana selepas persekolahan mereka,” kata seorang guru, Tecla Muyeye.

    “Untuk sementara waktu, ladang itu menyerupai zon peperangan. Para penjajah melepaskan tembakan untuk menakut-nakutkan pekerja ladang dan kami tidak tahu bagaimana ia akan berakhir.”

    Para pekerja di sana telah menganjurkan pesta kepulangan Smart, mendendangkan lagu-lagu semasa ketibaannya yang diiringi oleh anggota keselamatan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.

    Dia mendapati rumah keluarganya telah dirosakkan dan kebanyakan peralatan dan bekalan ladangnya telah dicuri.

    Tetapi Smart, yang telah mewarisi ladang itu daripada bapanya pada tahun 1965 dan mempersiapkan anaknya untuk mengambil alih, bertekad untuk bersikap optimis.

    “Adanya perasaan kegembiraan di dalam hati kerana kami telah dibenarkan untuk kembali semula,” katanya.

    “Ia adalah mengenai tiga generasi kami dan juga mereka yang telah bekerja di ladang ini.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda