Kemunculan penyanyi Hollywood terkenal Lady Gaga di sebuah medan selera di Singapura pada Selasa menjadi perhatian ramai.
Memetik laporan mStar, penyanyi berusia 39 tahun itu tampil serba hitam mengenakan bodysuit sambil berkaca mata hitam bagi melindungi matanya daripada sinaran cahaya matahari.
Walaupun hanya singgah makan di medan selera, Gaga turut melengkapkan gayanya dengan memakai kasut bertumit tinggi.
Menerusi video yang tular, Gaga turut ditemani beberapa kenalan termasuk pengawal keselamatan ketika berada di Medan Selera Maxwell itu.
Tunang Gaga iaitu Michael Polansky turut berada bersama penyanyi berkenaan.
Apa mencuri perhatian, Gaga dilihat menikmati mi udang bersama minuman milo dinasour selain beberapa menu lain bersama pasukannya.
Meskipun bergelar bintang terkenal dunia, Gaga dilihat tidak kekok dan bersahaja menikmati hidangan di medan selera tersebut.
Kehadirannya ke medan selera itu menarik perhatian ramai yang seolah-olah tidak percaya Gaga berada di situ.
Sebaik sahaja mahu meninggalkan medan selera itu, beberapa peminat menyapanya dan Gaga membalasnya dengan ramah.
Tidak hanya itu sekumpulan peminat berkumpul juga melakukan sorakkan untuknya.
Malah dia juga sempat berhenti untuk menandatangani album Mayhem milik seorang peminat sebelum menuju ke kenderaan.
Lady Gaga kini berada di Singapura untuk siri konsert eksklusif Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura selama empat hari bermula pada 18, 19, 21 dan 24 Mei. – Agensi
