Penyanyi dan pelakon Amerika Syarikat, Lady Gaga akan melancarkan album baharu yang memuatkan kenangan dan sebahagian besar pengalaman pahit dalam hidupnya.
Dalam wawancara dengan Los Angeles Times baru-baru ini, Lady Gaga mengongsikan sedikit butiran tentang album baharunya. Penyanyi itu meyakinkan peminatnya bahawa dia akan segera melancarkan album baharu tahun depan setelah banyak memfokuskan diri pada karier lakonannya dalam filem Joker: Folie a Deux sebelum ini.
Walaupun dia belum mengumumkan judul album baharunya, Lady Gaga mengungkapkan bahawa album tersebut merangkumi pengalaman hidup dan kecintaannya terhadap muzik.
Seperti kebanyakan album yang biasanya memiliki satu hingga dua genre, namun pada kali ini Lady Gaga membuat sedikit kelainan di mana album itu akan dimuatkan dengan pelbagai genre.
Pelakon watak Harley Quinn dalam filem Joker: Folie a Deux itu mengaku bahawa dia berjaya menemukan kedamaian dalam hidupnya setelah mengalami banyak kekecewaan dan salah dalam mengambil keputusan.
“Dan diakhiri dengan cinta. Itulah jawapan untuk semua kekacauan dalam hidup saya, iaitu saya menemukan kedamaian dengan cinta,” ujarnya.
Penyanyi berusia 38 tahun itu juga mengungkapkan bahawa selama dia membuat lagu untuk album baharunya, dia selalu terhanyut dalam kenangan dan mimpi masa lalu.
“Setiap lagu yang saya tulis, terus terhanyut dalam mimpi-mimpi yang berbeza tentang masa lalu. Hampir seperti ingatan tentang semua keputusan buruk yang saya buat dalam hidup,” tambahnya.
Di pertengahan tahun 2024 ini, Lady Gaga dan Bruno Mars mengejutkan orang awam dengan kolaborasi mereka berjudul Die With A Smile.
Lagu tersebut berjaya bertahan selama lapan minggu di puncak carta lagu Billboard Global 200.
November lalu, pelantun lagu Bad Romance itu telah melancarkan single terbaharunya yang berjudul Disease dan berjaya menduduki tangga ke-27 di Billboard Hot 100, tahun ini. – Agensi