Thursday, April 24, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lagi bekas pekerja BSP terima hukuman

    Oleh Rafidah Jumat

     

    pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Seorang lagi bekas pekerja Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd yang disabitkan atas 26 kesalahan rasuah melibatkan $52,695, dijatuhi hukuman enam tahun penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

    Tertuduh, Mohd Faisal bin Haji Ismail, 46, didapati bersalah selepas perbicaraan oleh Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman, pada 1 Mac 2017 atas pertuduhan rasuah membabitkan skim suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Musfada Enterprise, yang merupakan salah satu vendor yang berdaftar dengan BSP.

    Tertuduh juga dikenakan denda $52,695 yang perlu dibayar dalam tempoh tiga bulan dan jika gagal akan berdepan tambahan enam bulan penjara.

    Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien turut memerintahkan tertuduh untuk membayar kos pendakwaan berjumlah $200,000, juga dalam tempoh tiga bulan atau berdepan tambahan tiga bulan penjara jika gagal.

    Dalam memutuskan hukuman, Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien berkata, pihak pendakwaan berjaya buktikan kes melampaui keraguan munasabah di mana 18 orang saksi dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk bekas pekerja Musfada Enterprise.

    Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien turut memutuskan untuk menolak keterangan daripada tertuduh kerana bukti yang dikemukakan itu tidak boleh dipercayai kerana banyak percanggahan dan cubaan oleh tertuduh untuk mengelak dirinya dikaitkan dalam skim itu.

    “Rasuah adalah penyakit yang mengancam ekonomi Brunei dan satu-satunya cara untuk membasmi penyakit itu adalah dengan menjatuhi hukuman,” tegas Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien.

    Mohd Faisal merupakan antara lapan bekas pekerja BSP yang terlibat di mana Musfada Enterprise telah mewujudkan skim itu untuk mendapatkan lebih banyak tempahan daripada BSP dengan menawarkan dan memberikan komisen kepada pekerja BSP.

    Tertuduh ketika itu bertugas sebagai Penyelia Gudang di Jabatan Perkhidmatan Pengangkutan dan Logistik, BSP yang mana tugasnya antara lain adalah untuk menempah pelbagai produk seperti palet kotak, kotak karton dan pencuci pelindung pelarut Vitrone dari vendor berdaftar BSP. Antara 16 Januari 2008 dan 3 Ogos 2009, tertuduh telah membuat tempahan untuk pembelian pelbagai produk Musfada Enterprise bernilai $216,700 dan hanya produk bernilai $14,800 sahaja dibekalkan kepada BSP.

    Tertuduh telah menerima suapan berjumlah $52,695 dari Musfada Enterprise sebagai ganjaran kerana mendapatkan tempahan dan menandatangani nota penghantaran yang dikeluarkan oleh Musfada Enterprise sebagai pengesahan menerima produk.

    Pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti bahawa tertuduh mempunyai kawalan penuh terhadap tempahan tersebut tanpa diragui.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda