Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Seorang lagi bekas pekerja Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dijatuhi hukuman enam tahun penjara selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, terhadap 49 pertuduhan rasuah.
Salehen bin Haji Marsal yang merupakan bekas Penyelia Operasi Kanan di Bahagian Operasi Pengeluaran, Terminal Minyak Mentah Seria disabit bersalah selepas perbicaraan oleh Hakim James Kerr Findlay atas tuduhan menerima suapan dari Musfada Enterprise.
Siasatan dari Biro Mencegah Rasuah mendedahkan tertuduh antara April 2007 dan Disember 2008 telah meluluskan tuntutan pembelian bagi produk yang dibekalkan oleh Musfada Enterprise berjumlah $793,086 dan juga menandatangani nota penghantaran bagi produk yang tidak pernah dihantar ke BSP.
Sebagai imbalan, tertuduh menerima wang dan hadiah lain seperti tiket penerbangan untuk tertuduh dan keluarganya termasuk penginapan hotel, dan kamera Nikon SLR D300.
Hakim turut menjatuhi hukuman tambahan berupa bayaran sebanyak $200,872.13 yang perlu dibayar dalam tempoh enam bulan, dan jika gagal, akan berdepan tambahan enam bulan penjara.
Tertuduh juga diperintahkan untuk membayar kos pendakwaan berjumlah $120,000 dalam tempoh tiga bulan atau berdepan tambahan tiga bulan penjara jika gagal.
Pihak pendakwaan telah diketuai oleh Dato Seri Setia Davindher Singh bersama-sama pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara manakala tertuduh diwakili Peguam Ahmad Zakaria.
Pengurus Musfada Enterprise, David Chong selaku pemberi rasuah pada 2013 telah pun dijatuhi penjara enam tahun dan empat bulan oleh Mahkamah Tinggi.