Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Sebanyak 862 tin dan 48 botol minuman keras telah berjaya dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh anggota dan pegawai Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hasil usaha pencegahan dan pemantauan jenayah di kawasan sempadan negara.
Rampasan berkenaan dilakukan setelah pihak polis mengesan sebuah van sewa kerajaan yang berada dalam keadaan mencurigakan di pekan Bangar pada petang Khamis yang lalu.
Van yang dinaiki dua individu telah cuba melarikan diri apabila pihak peronda cuba menahannya bagi pemeriksaan lanjut. Selepas aksi kejar-mengejar yang berakhir di kawasan Kampung Menengah, kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran.
Pemeriksaan ke atas van yang ditinggalkan telah menemukan beberapa beg plastik hitam yang mengandungi sejumlah besar karton minuman keras.
Kenderaan serta barang tegahan berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Bangar untuk siasatan lanjut, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.
PPDB dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk terus mempertingkat rondaan dan operasi pencegahan jenayah, khususnya di kawasan sempadan negara, bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Orang ramai turut diseru agar tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang serta digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada PPDB melalui talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Semua di atas: Van yang membawa barang tegahan berkenaan semasa ditemui.
