Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan BKN
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Biro Kawalan Narkotik (BKN) berjaya menemui dan merampas dadah jenis syabu, Kelas A melebihi 5kg dibungkus dalam bungkusan teh yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran melebihi $1 juta baru-baru ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan BKN di sini hari ini, penangkapan seorang lelaki berusia 35 tahun pada 27 Disember lalu disyaki terlibat dalam pengedaran dadah, telah berjaya menemukan dadah tersebut. Antara rampasan signifikan lain diyakini hasil aktiviti pengedaran termasuklah wang tunai berjumlah lebih $7,500, sebuah kereta dan beberapa buah lagi telefon bimbit.
Tangkapan itu masih dalam siasatan di bawah beberapa kesalahan Seksyen 3A, Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah bagi tujuan mengedar dadah Kelas A melebihi 100 gram yang membawa kepada hukuman gantung hingga mati.
Seksyen 6(b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal dan Seksyen 3 Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 iaitu atas kesalahan membersihkan wang haram.
Sehubungan itu, BKN memberikan amaran bahawa tindakan membawa masuk dadah haram yang sengaja disembunyikan dalam pelbagai bentuk dan bungkusan akan sentiasa menjadi perhatian pihak berkuasa.
Selain itu, pihaknya juga menegaskan rangkaian-rangkaian pengedar dadah di negara ini termasuk juga mana-mana pihak yang bekerjasama dengannya, sama ada secara langsung atau pun tidak, akan terus dijejak untuk dibawa ke muka pengadilan.
Dengan siri kejayaan ini, BKN juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada agensi-agensi penguat kuasa undang-undang di negara ini atas bantuan kerjasama dalam memerangi kegiatan penyeludupan khususnya aktiviti pengedaran dadah haram di negara ini.
