STOCKHOLM, 4 SEPT — Pertempuran tercetus di kawasan kejiranan pendatang di bandar ketiga terbesar di Sweden selepas penunjuk perasaan anti-Islam membakar Al-Quran, kata polis hari ini.
Polis di Malmo berkata mereka telah dibaling dengan batu dan berpuluh-puluh kereta dibakar, termasuk di garaj bawah tanah, menggambarkan peristiwa yang bermula kelmarin dan berlarutan semalaman sebagai ‘rusuhan yang ganas’.
Pertempuran bermula selepas seorang aktivis anti-Islam, Salwan Momika pada Ahad membakar senaskhah Al-Quran dan kumpulan yang marah cuba menghalangnya manakala polis, sebahagian daripada mereka memakai topi keledar, menahan beberapa orang.
Sekurang-kurangnya tiga orang telah ditahan, kata polis.
Awal hari ini, orang ramai yang marah terutamanya golongan muda turut membakar tayar dan serpihan dan ada yang dilihat membaling skuter elektrik, basikal dan penghadang di kawasan Rosengard di Malmo, yang pernah menyaksikan pertempuran serupa pada masa lalu. Terdapat beberapa kain rentang yang berkaitan dengan pembakaran Al-Quran.
“Saya faham bahawa perhimpunan awam seperti ini membangkitkan emosi yang kuat, tetapi kita tidak boleh bertolak ansur dengan gangguan dan ekspresi ganas seperti yang kita saksikan pada petang Ahad,” kata pegawai kanan polis, Petra Stenkula.
“Amat mengecewakan untuk sekali lagi melihat keganasan dan vandalisme di Rosengard,” katanya. – AP
