Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) terus menyarankan kepada orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran kereta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, satu panggilan kecemasan insiden kebakaran kereta telah diterima pada pukul 6:32 petang berdekatan Jejambat Lapangan Terbang Lama pada 12 Ogos lalu.
Enam orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh DSO Haji Sufri bin Haji Bolaji dari Balai Bomba Berakas dikejarkan ke tempat kejadian di mana api besar membakar keseluruhan enjin sebuah kereta jenis wagon kepunyaan lelaki warga asing yang selamat keluar sebelum jentera bomba sampai.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadam dengan mengeluarkan satu aliran hos serta menggunakan FMB 5x di mana air diperoleh daripada jentera bomba dan api dapat dikawal dalam masa dua minit.
Kenyataan juga menyatakan bahawa punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan serta tidak ada kecederaan dan korban jiwa berlaku.
