Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lagi kejadian bakar Al-Quran di Sweden

    STOCKHOLM, 31 JULAI – Dua orang lelaki membakar Al-Quran di luar parlimen di Stockholm hari ini, semasa bantahan serupa yang mencetuskan ketegangan antara Sweden dan negara-negara Timur Tengah.

    Salwan Momika dan Salwan Najem dilihat menendang dan memijak Al-Quran, kemudian membakar helaiannya sebelum menutup kitab tersebut, seperti yang mereka lakukan semasa bantahan di luar masjid utama Stockholm hujung Jun lalu.

    Kedua-dua mereka juga mengadakan bantahan serupa di luar kedutaan Iraq di Stockholm pada 20 Julai, di mana mereka telah memijak Al-Quran namun tidak membakarnya.

    Polis Sweden telah memberikan kebenaran untuk bantahan oleh orang yang berkempen dengan harapan Al-Quran diharamkan di negara itu, menurut media tempatan.

    “Saya akan membakarnya banyak kali, sehingga ia diharamkan,” kata penganjur, Salwan Najem kepada akhbar Expressen.

    Wanita Pakistan mengadakan bantahan terhadap pembakaran Al-Quran di Stockholm. – AP

    AFP meminta salinan permohonan dan kebenaran daripada polis, tetapi tiada respons segera.

    Sweden telah menyaksikan hubungan diplomatik dengan beberapa buah negara Timur Tengah menjadi tegang mengenai bantahan terdahulu yang melibatkan pembakaran Al-Quran.

    Polis Sweden sebelum ini menekankan bahawa mereka hanya memberi kebenaran kepada orang ramai untuk mengadakan perhimpunan awam dan bukannya aktiviti yang dijalankan semasa acara tersebut.

    Kedua-dua pembantah telah menyebabkan kemarahan dan kecaman meluas.

    Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang menyokong pencalonan Sweden untuk menyertai NATO, meluahkan kemarahan terhadap kejadian membakar Al-Quran tersebut. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda