Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Sebanyak 10 karton minuman keras, 66 karton minuman keras pelbagai jenama dan 50 kotak berisi daging mentah berjaya dirampas dalam satu rondaan dan pemantauan yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di Daerah Temburong, pagi tadi.
Menurut siasatan awal, pihak polis telah mendapati tiga buah kenderaan sedang berada di kawasan penurunan perahu Kampung Negalang dalam keadaan yang mencurigakan.
Sejurus selepas itu, beberapa orang individu dilihat sedang memunggah dan mengeluarkan barang-barang dari sebuah perahu kemudian menyimpannya ke dalam ketiga-tiga kereta berkenaan.
Pihak polis mula mengambil tindakan selepas kesemua barangan selesai dipunggah dan melakukan penahanan di kawasan Jalan Kampung Negalang untuk menjalani pemeriksaan.
Salah seorang pemandu kereta berjaya ditahan manakala pemandu dua buah kenderaan lagi sempat melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan dan gagal dikesan.
Kesemua barangan tegahan tersebut ditemui di dalam kereta-kereta berkenaan di mana pemandu dan kereta-kereta itu dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan selanjutnya.
Sementara itu, satu paket kecil mengandungi pecahan hablur dipercayai dadah jenis syabu pula ditemukan selepas pihak polis menjalankan pemeriksaan tubuh badan ke atas pemandu berkenaan.
Kes tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan lanjut.
