SYDNEY, 30 Jan – Sebuah kedai senjata di pinggir bandar Melbourne, Victoria di Australia telah menjadi sasaran perompakan, setelah kurang dua hari selepas beberapa orang perompak merompak hingga 65 senjata dari sebuah kedai di pinggir bandar, menurut laporan media setempat hari ini.
Pemilik kedai yang terlibat insiden terbaru itu, yang berlaku di barat laut bandar Tullamarine berkata sebuah trak telah digunakan untuk merempuh pintu masuk kedainya semalam, namun tidak ada barang dicuri, menurut laporan dari stesen radio 3AW.
Insiden itu diikuti oleh kejadian rompakan yang berlaku pagi semalam, apabila empat orang lelaki memakai hud merompak beberapa senjata dari sebuah kedai di kawasan Thornbury sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan yang dicuri, yang akhirnya ditinggalkan di kawasan yang berdekatan. Namun, tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihak polis masih menyiasat insiden berkenaan.
Menurut stesen radio dengan memetik Menteri Polis, Lisa Neville sebagai berkata: “Ia adalah sesuatu yang luar biasa untuk dilihat, satu operasi yang dirancang dengan baik dan pihak polis telah meletakkan sumber tambahan ekoran kebimbangan.”
Stesen berkenaan menambahkan, harga runcit bagi senjata-senjata itu bermula dari harga AU$700 hingga AU$1,900 dan boleh mencapai hingga AU$10,000 dalam pasaran gelap.
“Mereka nampaknya menyasarkan kedai senjata yang tertentu untuk mendapatkan senjata yang selalunya dijual di pasaran gelap,” menurut Penolong Pesuruhjaya polis, Steve Fontana dipetik sebagai berkata.
Undang-undang senjata Australia termasuk pendaftaran, pelesenan, mengemukakan alasan munasabah terhadap pemilikan, pengharaman senjata semi-auto dan automatik serta ruang simpanan peluru yang sesuai. – Xinhua