Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Padah menimpa seorang lelaki warga Bangladesh, apabila kedatangannya ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen untuk bertanyakan kes rakannya mengundang malang buat dirinya, apabila dia didapati tinggal melebihi tempoh di negara ini.
Mohammad Rubel Miah, 28, mengaku bersalah atas tuduhan tinggal selama 247 hari di negara ini selepas pas kerjanya mansuh pada 27 Februari 2017 dan dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dan tiga sebatan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid.
Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh ditahan untuk siasatan apabila gagal untuk mengemukakan pasportnya kepada pegawai imigresen bertugas ketika datang untuk bertanyakan mengenai kes rakannya.
Siasatan mendapati bahawa pas kerja tertuduh mansuh pada 27 Februari 2017 dan dia dilaporkan telah lari daripada majikannya.
Dalam bilik mahkamah sama, Joceyln Nepomuceno Nicanor berusia 51 tahun dari Filipina dikenakan hukuman lapan bulan penjara atas kesalahan tinggal selama 77 hari selepas pas melawat yang dikeluarkan kepadanya mansuh pada 19 Oktober 2011.
Untuk kesalahan itu, dia dikenakan kompaun dan dikeluarkan pas khas sehingga 9 Ogos 2012.
Tertuduh bagaimanapun didapati gagal untuk melaporkan diri ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen selepas tamat tempoh pas khas tersebut yang mana dia didapati tinggal selama 1,910 hari di negara ini sehingga diberkas pada 1 November 2017 di bilik sewa, Kampung Serasa.