Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 23 JULAI – Persembahan puisi dan seni lagu dakwah serta alunan selawat telah menyerikan acara Malam Nur Iman anjuran Akademi Panggung Sri Utama semasa acara pentas perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun bagi Daerah Tutong, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara yang berlangsung di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai Daerah Tutong.
Semasa ditemui Media Permata, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz antara lain mengatakan persembahan lagu-lagu dakwah pada acara itu secara tidak langsung mendidik para pengunjung untuk sama-sama mengingati Allah SWT di mana pun berada dalam kehidupan sehari-hari dengan meningkatkan amalan berzikir mahu pun berselawat demi menggapai rahmat Ilahi.
Sebuah sketsa yang berjudul ‘Wal Asr’ turut disampaikan oleh ahli akademi tersebut di mana arahan dan skrip dihasilkan oleh Sosonjan A Khan.
Di samping itu, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz juga tidak ketinggalan mempersembahkan bacaan puisi sajak yang bertajuk ‘Wira Bahasa’. Acara pada malam itu turut diakhiri dengan soalan kuiz dan penyampaian hadiah.
