Monday, February 24, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lagu nyanyian Fattah Amin dapat sambutan luar biasa

    Jika sebelum ini nyanyian pelakon Fattah Amin dikritik sebagai sumbang malah ada menjauhi bidang nyanyian, tetapi kali ini nampaknya berbeza.

    Percubaan Fattah tampil dengan single terbaharu berjudul Lelaki Terakhir nampaknya membuahkan hasil apabila mendapat sambutan luar biasa pendengar.

    Lebih istimewa apabila lagu tersebut ketika ini sedang berada di carta trending di YouTube dan sudah pun mendapat lebih 50,000 tontonan dalam tempoh dua hari.

    Kejayaan itu juga membuatkan Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, terharu kerana Lelaki Terakhir merupakan lagu sangat bermakna yang menggambarkan dugaan percintaan penuh cabaran.

    “Ia satu pencapaian bermakna bagi saya dan memang langsung tak sangka ia dapat sambutan baik pendengar sampai trending di YouTube,” katanya.

    Bercakap mengenai penghasilan lagu tersebut, Fattah memberitahu bukan mudah menyiapkan lagu tersebut namun sokongan ramai membuatkan dia bersemangat menyelesaikan rakaman.

    Malah aktor itu berharap pendengar akan tersentuh dan mendapat inspirasi setiap kali mendengar lagu berkenaan.

    Lelaki Terakhir adalah ciptaan komposer dan penerbit Mel Ramlan manakala lirik adalah daripada Fattah sendiri.

    Lagu tersebut turut dipilih menjadi runut bunyi drama bersiri lakonan Fattah berjudul Keluarga Itu yang akan ditayangkan bermula 28 Februari ini di TV3.

    Sementara itu, menerusi ruang komen di YouTube, ramai turut memuji vokal Fattah semakin baik berbanding sebelum ini kurang memuaskan.

    Ramai percaya dengan teknik dan latihan yang betul, Fattah mampu pergi jauh dalam bidang nyanyian. Malah ramai tidak terkejut sekiranya Lelaki Terakhir bakal berentap di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) tahun depan.

    “Saya dah play 30 kali! Confirm lagu ini juara AJL tahun depan!

    “Fattah boleh pergi jauh dalam bidang nyanyian tapi perlu usaha lebih lagi. Syabas Fattah!

    “Semoga Fattah menjadi Lelaki Terakhir untuk seorang wanita yang menghormati dan menyayangi seikhlas hati kerana Allah SWT,” antara komen warganet. – Agensi

    Fattah tak sangka lagu terbaharunya berjaya trending di YouTube. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda