Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lahar gunung berapi Canary tiba di laut

    MADRID, 29 SEPT – Lahar dari gunung berapi yang meletus di Pulau Canary telah sampai ke lautan, kata pakar gunung berapi, mencetuskan kebimbangan gas beracun dilepaskan ketika lahar mencecah air laut.

    Kerajaan daerah kepulauan Sepanyol telah mengisytiharkan zon pengecualian sejauh dua batu nautika di mana lahar dijangka memasuki Lautan Atlantik dan meminta penduduk berdekatan supaya tinggal di rumah.

    “Aliran lahar telah sampai ke laut di Playa Nueva,” kata Institut Gunung Berapi Pulau Canary, Involcan di Twitter malam tadi.

    Gunung berapi La Cumbre Vieja, yang terletak di permatang selatan di La Palma, sebuah pulau dengan 85,000 penduduk, meletus pada 19 September lalu dan memuntahkan aliran lava yang perlahan-lahan mengalir ke laut.

    Penduduk di beberapa kawasan di Tazacorte, sebuah kampung yang berdekatan dengan pantai, diberitahu pada Isnin lalu supaya tinggal di rumah untuk mengelakkan bahaya yang timbul daripada pelepasan gas beracun yang boleh berlaku akibat reaksi antara lahar cair dan air.

    “Penduduk diberi amaran supaya tinggal di rumah kerana kemungkinan ada kejutan kecil ketika magma memasuki air laut, dan kejutan kecil ini menyebabkan wap yang boleh menjadi toksik,” tegas Miguel Angel Morcuende, Pengarah Teknikal Pelan Kecemasan Gunung Berapi (Pevolca) Kepulauan Canary.

    Pakar menyatakan, kemasukan lahar ke dalam air laut akan mencetus awan gas beracun ke udara, menyebabkan letupan dan pecahan batu mencair seperti tembakan.

    “Menyedut atau kontak dengan gas asid dan cairan boleh menyebabkan gatal kulit, mata dan gangguan saluran pernafasan, serta boleh menyebabkan kesulitan bernafas, terutama kepada orang yang ada masalah pernafasan,” Involcan mengingatkan. – AFP

    Aliran lahar dari gunung berapi Cumbre Vieja tiba di laut di pantai Los Girres di Tazacorte di pulau Canary La Palma kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda