Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Seramai 53 orang terdiri daripada ahli jawatankuasa majlis perundingan kampung dan penduduk kampung serta belia-beliawanis Berserumpun Kawasan 4 Kampung Panchor Mengkubau, menghadiri Bengkel Fardu Kifayah yang diadakan di Masjid Kampung Pulaie, kelmarin.
Bengkel berkenaan adalah untuk menggalakkan belia-belia supaya dapat berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat, melahirkan belia yang mahir dan cekap dalam menguruskan jenazah.
Di samping itu, ia juga memberikan pengetahuan tentang pengurusan jenazah berasaskan Al-Quran dan Sunnah dan membuat penyelarasan tentang kerja pengurusan jenazah.
Bengkel berkenaan dibimbing oleh tiga fasilitator yang terdiri daripada Imam Masjid
Kampung Pulaie, Haji Nuraliff bin Haji Talib, Dayang Siti Animi binti Haji Salleh dan Dayangku Noraidah binti Pengiran Salleh yang masing-masing dari Unit Pengapai Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Ketua Kampung Kawasan 4, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad telah menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada peserta bengkel pada akhir acara.