Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Bagi melahirkan para hakim yang berkelayakan dan berkualiti khususnya dalam acara Musabaqah Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan tahun 2017, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Bengkel Acara Iringan bagi musabaqah tersebut di kementerian berkenaan.
Bengkel selama tiga hari itu telah disampaikan oleh tenaga pengajar yang memiliki pengalaman di dalam bidang penghakiman pelbagai peringkat sama ada di peringkat dewasa kebangsaan, belia kebangsaan dan antarabangsa.
Bengkel diisikan dengan sesi penerangan mengenai panduan am penghakiman, borang penghakiman, etika hakim, kriteria penghakiman dari empat sudut iaitu lagu, suara, kelancaran (fasahah) dan tajwid dan simulasi penghakiman serta pencapaian simulasi.
Ia dihasratkan meningkatkan pengetahuan berkaitan kehakiman dalam pelbagai sudut, memberi pendedahan format penghakiman secara profesional dan menjaga kredibiliti hakim tempatan.
