Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Awang Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Marjuki masing-masing dinobatkan sebagai juara qari dan qariah dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan (MTQBK) yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.
Tampil di tempat kedua dan ketiga dalam kategori qari ialah Awang Muhammad Sa’dun bin Suhaili dan Awang Abdul Qawiyeel Azeez bin Haji Abd Rajid.
Sementara itu, dalam kategori qariah pula, naib johan menjadi milik Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri dan Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KKBS dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pegawai-pegawai kanan KKBS.

Seramai 10 orang peserta iaitu lima orang peserta qari dan lima orang peserta qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing pada peringkat akhir kelmarin.
MTQBK merupakan program anjuran KKBS yang telah mula dilaksanakan sejak 1980an dan berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Di samping itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum.
MTQBK yang menyasarkan belia-belia berumur antara 15 hingga 30 tahun ini antara lain bertujuan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melihat generasi Al-Quran dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan, terutama golongan belia.
Pertandingan juga menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah Negara Brunei Darussalam dan untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia serta memupuk dan menyemai rasa persahabatan di kalangan peserta belia melalui program keugamaan.
MTQBK ini juga sebagai persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Abdul Halim bin Haji Fuad dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi selaku pengerusi majlis dan ucapan tetamu kehormat majlis sebelum bermulanya peringkat akhir musabaqah.
Majlis turut menyaksikan persembahan tausyeh belia oleh Kumpulan An Nagho(a)m dan diikuti dengan pengumuman keputusan musabaqah yang disampaikan oleh Haji Muhammad Sujairi bin Haji Dollah selaku pengerusi jemaah hakim. Tetamu kehormat majlis kemudiannya menyampaikan hadiah, cenderamata dan sijil penyertaan kepada para pemenang.
Johan qari dan qariah menerima piala pusingan, piala iringan, wang tunai $2,000 dan sijil penyertaan, naib johan pula menerima piala iringan, wang tunai $1,500 dan sijil penyertaan, sementara itu, tempat ketiga membawa pulang piala iringan, wang tunai $1,000 dan sijil penyertaan. Manakala itu, empat peserta lain menerima hadiah sagu hati berupa piala iringan, wang tunai $500 dan sijil penyertaan.