Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lahirkan belia berwawasan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Seramai 45 orang belia terdiri daripada Belia Permata Hijau, belia masjid dan belia-belia yang mewakili mukim dan kampung di Daerah Temburong telah menyertai program Literasi Penerangan, hari ini.

    Program yang berlangsung di Auditorium Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan itu telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku tetamu kehormat majlis.

    Program Literasi Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Daerah Temburong itu julung kalinya diungkayahkan sebagai salah satu inisiatif baharu jabatan menggunakan pendekatan seluruh negara dan seluruh kerajaan.

    Ia antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.

    Sepanjang program berkenaan peserta program telah didedahkan dengan pelbagai maklumat semasa termasuk memahami konsep inclusivity melalui pengisian taklimat, aktiviti dan lawatan yang diaturkan.

    Dr Muhammad Nuriskandar ketika menyampaikan taklimat. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara peserta yang menghadiri taklimat tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Pada hari pertama program berkenaan, peserta telah mendengarkan taklimat
    Aspirasi Belia oleh Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan dari Jabatan Belia dan Sukan, Dr Muhammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan yang antara lain mengongsikan mengenai Buku Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035, latar belakang dan tujuan Dasar Belia Negara.

    Manakala itu, taklimat bertajuk Peranan Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan Inisiatif Menangani Isu Pengangguran pula telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II dari MPEC, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Nur Afiqah binti Mursidi.

    Beliau telah menyentuh mengenai inisiatif penyediaan bantuan pembiayaan kepada pencari kerja tempatan yang layak, perantis i-Ready dan pekerja tempatan di sektor swasta.

    Taklimat-taklimat lain yang disampaikan termasuk Memahami Konsep Inclusivity oleh Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Orang Kelainan Upaya, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayangku Khairah Wadihah binti Pengiran Zainurin yang diikuti dengan tunjuk cara bahasa isyarat daripada ahli-ahli Persatuan Bijak dan Orientasi dan Mobiliti daripada Pusat Bahagia.

    Taklimat bertajuk Mengukuh-mantapkan Akidah Golongan Belia pula disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Isham bin Ismail.

    Turut hadir semasa program tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Zon 1, Daerah Temburong, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir dan Pemangku Penghulu Zon 2, Daerah Temburong, Awang Khairul Anwar bin Haji Juma’at.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda