Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Dalam usaha memupuk minat kalangan murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam di Masjid agar celik Al-Quran dan menjadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian yang berterusan, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na’im melalui Penyelia Bahagian Pendidik dan Penyelia Hal Ehwal Muslimah, telah menganjurkan Pertandingan Menghafaz Surah-Surah Pilihan, Pertandingan Azan Subuh dan Aktiviti Mewarna bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam, baru-baru ini.
Pertandingan berlangsung di masjid berkenaan itu telah menyaksikan persembahan 35 peserta pertandingan dari beberapa kategori.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Saifullah bin Haji Rosli.
Antara lain tujuan pertandingan adalah untuk melahirkan kanak-kanak yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan sempurna.
Di samping untuk mencungkil bakat murid-murid Kelas Al-Quran dan Muqaddam serta menjadikan Al-Quran sebagai teman dalam kehidupan.
Ianya juga dihasrat menarik minat lebih ramai kanak-kanak untuk mengikuti apa jua aktiviti yang dijalankan di masjid-masjid khususnya Kelas Al-Quran dan Muqaddam yang secara tidak langsung menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum.





