Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lailatul Sakinah

    Oleh Salina MS –

    SINOPSIS

    Cinta dianya terhadap Lailatul Sakinah bermula di 10 malam terakhir bulan Ramadan.
    Meskipun ditentang oleh ayah Lailatul Sakinah. Sementelah ayah Lailatul Sakinah diserang angin ahmar dan lumpuh ke bawah pusat, ayah Lailatul Sakinah membenarkan dianya dan Lailatul Sakinah bersatu. Namun, langit tidak selalu cerah. Dianya berubah hati…

    I
    Mengejar cinta Lailatul Sakinah seperti mencari bahagian diri yang hilang.

    Umpama lego yang tidak akan pernah sempurna gara-gara satu bongkah bloknya yang hilang. Begitulah tamsilan cinta dianya. Tanpa Lailatul Sakinah, dianya rasa hilang. Huh! Cinta seorang lelaki. Dialah ‘Lelaki Ini’ dalam lagu nyanyian Anwar Zain.

    Lelaki ini yang selalu memuja… Hanya dirimu yang bertakhta dalam sanubariku… Yang bertakhta dalam sanubariku…

    Mendayu-dayu di corong disc player kereta dianya. “Ayahnya dekan. Kau pula hanya syok sendiri dengan lagu ‘Lelaki ini’,” acah Ramlan, bilal sukarelawan di masjid tempat dianya bekerja.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    “Anwar Zain lelaki ‘sempurna’,” puji dianya akan penyanyi idola.

    Dianya bekerja sebagai pembersih dan tukang kebun masjid itu. Gaji hari. Kelulusan, Higher National Diploma (HND). Sukar mendapat jawatan yang tepat dengan kelulusan, apatah lagi jawatan kosong dalam dunia pekerjaan akhir zaman ini sangat terbatas. Boleh jadi salah satunya akibat ulah para oportunis yang rakus mementingkan kroni.

    “Yang sempurna hanya Allah,” tegur Ramlan.

    “10 malam terakhir ini, aku berdoa supaya hubungan kami hingga ke jinjang pernikahan,” kata dianya dengan penuh semangat.

    Dianya mula mengenal Lailatul Sakinah di masjid itu juga. Pada 10 malam terakhir bulan Ramadan beberapa tahun yang lepas. Sejak itulah mereka selalu bertukar-tukar pesanan WhatsApp. Lailatul Sakinah, pegawai makmal di universiti swasta.

    “Baguslah kalau begitu. Seandainya bertemu dengan malam lailatul qadar, takdir hidupmu akan berubah lebih baik,” galak Ramlan.

    Menurut para ilmuan, pada bulan Ramadan gelombang elektromagnet matahari lebih tinggi daripada gelombang elektromagnet bulan penuh. Pada satu malam di 10 malam terakhir itu berlakunya pantulan gelombang matahari yang lebih tinggi. Justeru, gelombang tinggi yang dipantulkan dari bulan ke bumi itu menjadi tarikan para malaikat.

    Bertepatan dengan asal kejadian mereka dari cahaya. Ketika itulah para malaikat akan turun ke bumi.

    “Aku sangat berharap.” Dianya bersungguh. Dianya sedar satu malam itulah malam lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam di mana semua permintaan hamba akan diperkenankan.

    “Cuma nasihatku, jangan semacam memaksa Tuhan untuk memperkenankan doamu.

    Sedangkan Tuhan lebih mengerti apa yang terbaik buat hambaNYA,” nasihat Ramlan ikhlas.

    II

    Ayah Lailatul Sakinah sudah terbuka hati untuk menerima dianya.

    Mungkin kerana ayah Lailatul Sakinah telah termakan budi dengan kebaikan dianya yang sering datang memberi sokongan moral sementelah fenomena serangan angin ahmar dan lumpuh ke bawah pusat itu.

    Dianya dan Lailatul Sakinah dinikahkan dalam majlis yang sangat sederhana.

    Namun, langit tidak selalu cerah. Sementelah ayah Lailatul Sakinah meninggal, Lailatul Sakinah mengalami kemurungan. Manakala, dianya mendapat jawatan terbaik. Gaji besar dan mula menyemai cinta dengan seorang gadis cantik anak kepada pengarah di jabatan tempat dianya bekerja itu.

    Kemudian, mereka berkahwin dalam resepsi mewah di hotel tujuh bintang tepi pantai. Seterusnya adalah sejarah.

    Tibalah lagi bulan Ramadan…

    Di corong radio kereta dianya kedengaran lagu nyanyian Opick, ‘Ramadan Tiba’.

    Ramadan tiba… Ramadan tiba… Ramadan tiba. Marhaban ya Ramadan… Marhaban ya Ramadan… Marhaban ya Ramadan… Ramadan tiba… Ramadan tiba… Ramadan tiba.

    Marhaban ya Ramadan… Marhaban ya Ramadan… Marhaban ya Ramadan.

    Pada Ramadan kali ini, hati dianya mula merindui masjid tempat dianya bekerja dahulu, mula merindui tarawih, witir dan tadarus. Ironi, isteri dianya tidak berminta dengan kehidupan kerohanian.

    Di masjid itu, dianya bertemu Ramlan semula. Lama sudah dianya tidak bertemu dengan Ramlan. Pun begitu, sudah lama benar dianya tidak ke masjid itu. Pertelingkahan itu puncanya.

    III

    Malam 10 terakhir bulan Ramadan di masjid itu, dianya selalu nampak seorang perempuan berpurdah hitam.

    Dianya yakin itulah Lailatul Sakinah.

    Ramlan pun tidak pernah lagi menyentuh mengenai cerita Lailatul Sakinah. Sebenarnya, Ramlan tidak mahu menjentik isu pertelingkahan antara mereka pada masa lalu. Talak tiga yang dianya jatuhkan ke atas Lailatul Sakinah, punca pertelingkahan itu. Sementelah didesak, Ramlan pun buka cerita…

    “Lailatul Sakinah melalui masa-masa yang sukar selepas diceraikan,” sopan Ramlan memulakan ayat.

    Sesuai adab seorang imam di masjid itu dan bakal hafazan. Tidak disangka, begitu indah takdir hidup Ramlan.

    “Aku menyesal, Ramlan. I was never happy dengan perkahwinan baharu,” luah dianya waima belum ditanya.

    “Itu jalan yang kau pilih, wahai sahabatku. Takdir hidup kita bergantung pada jalan hidup yang kita pilih,” jelas Ramlan tenang.

    Dianya diam. “Kerana mahu menjaga kemaslahatan ummah, aku nikahi Lailatul Sakinah,” sambung Ramlan tegar.

    Dianya termanggu. Sukar percaya. Ramlan diam. Memberi dianya ruang.

    “Aku…” dianya tiba-tiba hilang kosa kata.

    “Cinta sejati mahal nilainya, wahai sahabatku,” begitulah Ramlan menyambung bicara tadi.

    “Maaf! Sebentar lagi akan dimulakan solat tasbih. Jemaah sudah menunggu,” Ramlan mohon permisi.

    Dianya terpaku, kaku dan kelu. Cinta dianya bermula di 10 malam terakhir itu. Namun, dianya tidak merasa cinta akan berakhir di 10 malam terakhir ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda