Friday, April 18, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lain Macamnya Raya berjaya tambat hati penonton

    Apalah erti lebaran sekiranya kita tidak disajikan dengan iklan Raya yang sarat dengan emosi sehingga mampu membuat penonton menitiskan air mata.

    Tapi bagi yang sudah menonton Astro Raya 2025 – Lain Macamnya Raya pasti dapat merasai perbezaan sebab ia bukan iklan Raya biasa dipaparkan.

    Sebaliknya emosi penonton pastinya bakal bercampur baur apabila menyaksikan jalan cerita mengenai kisah seorang janda anak tiga iaitu Jumaah Abdul Majid lakonan hebat Ellie Suriaty.

    Namun sebelum emosi penonton tersentuh, mereka pastinya tidak kering gusi dengan elemen komedi ditampilkan termasuk babak Ellie menumbuk wajah pelakon Erra Fazira kerana mahu berhutang selepas mengambil baju ditempah.

    Menurut mStar, babak di antara Ellie dan Erra itu boleh dikatakan antara adegan ikonik dalam mana-mana iklan Raya.

    Aksi spontan Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 54, itu secara tidak langsung berjaya mencuit hati penonton namun siapa sangka rupa-rupa berlakunya ‘plot twist’ yang membuatkan penonton menangis di pertengahan cerita.

    Iklan Raya berdurasi lapan minit itu menyingkap kisah Jumaah yang mempunyai tradisi sambutan Hari Raya sama setiap tahun.

    Baginya, setiap anak wajib menggayakan busana sedondon berwarna merah jambu dan menghidangkan juadah raya seperti rendang, lemang dan dodol di pagi raya.

    Pun begitu, keadaan berubah apabila anak-anaknya iaitu Nadim, Budi dan Malik berkahwin dan tradisi keluarganya itu tergugat kerana menantu-menantunya ingin menyediakan menu raya lain sewaktu beraya di rumah Jumaah.

    Di sinilah bermula bagaimana pengarah Hyrul Anuar bermain dengan emosi penonton yang baru sahaja bergelak ketawa bertukar menjadi drama air mata. – Agensi

    Penonton terhibur dengan aksi spontan Erra (kanan) ditumbuk oleh Ellie (kiri). – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda