Oleh Raz AS –
Persoalan demi persoalan membelenggu akal dan fikiran, umpama bait lagu ‘Kemelut di Muara Kasih’ dendangan penyanyi terkenal Malaysia, Ziana Zain, seribu satu persoalan sentiasa bermain di fikiran si kaki pancing.
Dengan berkembangnya sukan memancing dan semakin ramai orang berkecimpung dalam arena ini, ramai yang cuba mencari jawapan kepada rahsia terbesar yang diidam-idamkan oleh semua kaki pancing di dunia ini.
Apakah dia rahsia tersebut? Tidak lain tidak bukan, rahsia bagaimana untuk memperoleh hasil tangkapan yang banyak dan terbesar.
Bagaikan satu pertandingan yang tidak kunjung sudah, setiap kaki pancing dalam sedar atau tidak sentiasa membanding-bandingkan hasil tangkapan terbesar atau terbanyak masing-masing dengan kaki-kaki pancing yang lain.
Ia lebih ketara lagi ketika si pemancing turun padang bersama rakan-rakan atau kaum keluarga. Sesiapa yang mendapat ikan terkecil atau sama sekali tidak memperoleh apa-apa sering menjadi bahan ejekan oleh yang lain. Mangsa hanya mampu bersabar bermerah telinga mendengar sindiran rakan-rakan, digelar kumpaw atau ampok.

Rezeki memang di tangan Tuhan, tapi siapa yang tidak mengakui pernah berasa iri hati melihat rakan lain menaikkan ikan bersaiz trofi atau menaikkan banyak ikan sememangnya berbohong.
Oleh yang demikian, ramai kaki pancing cuba untuk mendapatkan jawapan bagi ‘rahsia-rahsia’ untuk berjaya tidak kiralah melalui peralatan yang lebih baik atau sesuai; mempelajari teknik, petua, doa dan seumpamanya; bertanya, mencari atau menduga lubuk baharu; dan mengajukan soalan yang paling lazim ditanyakan iaitu mengenai umpan. “Apa umpan kita ah?”
Kenapakah umpan sering dipersoalkan? Kerana umpan ialah komponen yang paling penting namun juga paling senang digunakan untuk mendapat kelebihan dalam aspek menangkap ikan. Umpan yang mujarab dikatakan akan dapat membawa kejayaan kepada kaki pancing untuk menumpaskan sang buruan yang diidam-idamkan. Walau bagaimanapun sejauh mana kebenarannya?
Sering kali semasa turun memancing penulis terdengar pemancing-pemancing lain ‘berbangga’ dengan umpan mujarab mereka. Tidak kiralah ketika memancing ikan ataupun udang galah. Umpan semula jadi atau tiruan.
Ramai yang mengatakan kononnya kalau menggunakan umpan mujarab mereka itu boleh menghasilkan tangkapan yang banyak atau besar-besar kalah umpan lain. Tetapi apabila dicuba tidak juga jauh berbeza daripada yang sebelumnya. Kadang-kadang membuahkan hasil, kadang-kadang tidak.
Contohnya berdasarkan pengalaman penulis sendiri, umpan isi udang rostris yang penulis gemar gunakan untuk memancing udang galah di kampung halaman penulis di Daerah Temburong kurang diminati oleh udang galah di Daerah Tutong.
Begitu juga sebaliknya, umpan-umpan yang menjadi kegemaran pemancing-pemancing udang galah di daerah-daerah lain seperti umpan bangkutut, hati dan jantung ayam, bubuk dan lain-lain kadang-kadang membuahkan hasil dan kadang-kadang tidaklah ‘semeriah’ mana. Sama juga halnya dengan umpan tiruan atau lure. Satu ketika dahulu ramai yang mengatakan lure yang mempunyai badan berwarna putih dan merah atau lebih dikenali sebagai redhead dan lure bercorak firetiger berwarna hijau, kuning, jingga dan berceloreng hitam merupakan warna lure paling mujarab.
Tetapi setelah dicuba sendiri oleh penulis tidak ada bezanya dengan warna-warna lain.
Kadang-kadang ternampak ikan besar galak menyambar anak-anak ikan di permukaan tetapi lure warna ‘mujarab’ yang dilontarkan langsung tidak diendahkan.
Ada juga yang mengatakan lure Rapala DT menjadi kegilaan si ikan ungah, manakala lure jenis minnow pula sangat digemari oleh ikan selungsung. Semasa berada di Australia, penulis pernah bertanya kepada petugas kedai pancing di sana, lure apa yang mereka syorkan untuk memburu ikan yang mereka kenali sebagai barramundi itu di sana.
Dengan penuh keyakinan jawapan diberikan, lure yang mereka ketahui paling terkenal kerana kemujarabannya untuk memburu spesies buruan ramai itu di sana ialah Gold Bomber, penjelasan panjang lebar diberikan kepada penulis tentang kenapa lure itu sangat mujarab. Tanpa berlengah penulis menghabiskan saki-baki wang yang ada dalam saku untuk membeli beberapa bentuk lure Gold Bomber yang berlainan saiz.
Sekembali ke Brunei, tanpa membuang masa penulis terus turun padang untuk mencuba umpan mujarab itu. Hakikatnya mahu tercabut rasanya bahu melontar lure berjam-jam meski kelibat si raja muara kadang-kadang kelihatan timbul di bawah permukaan air.
Sebenarnya pemancing-pemancing ini tidak berbohong atau mereka-reka cerita. Kita sebagai pemancing terutama yang suka mengayau padang pancing ke sana-sini sepatutnya tahu akan peribahasa ‘lain padang, lain belalang’.
Kalau orang yang tinggal di negara ini suka makan nasi, orang di negara barat tentu punya makanan kegemaran seharian mereka sendiri. Sama juga seperti ikan atau udang galah, umpan yang kononnya ‘mujarab’ digunakan di sesuatu tempat itu tidak semestinya akan membuahkan hasil yang sama di tempat lain. Ini kerana diet yang tersedia di habitatnya mungkin berlainan dengan yang ada di tempat lain.
Selain daripada itu, selera ikan juga boleh berubah-ubah mengikut suhu air, cuaca, waktu, keadaan arus, pasang surut dan kedalaman air.
Apa yang paling penting ialah keupayaan seseorang pemancing itu untuk beradaptasi dengan kawasan dan keadaan padang pancing. Satu formula tidak dapat dimuatkan untuk semua keadaan.