Oleh Nurdiyanah R.
Meskipun sudah mencapai usia emas, bukanlah halangan bagi Haji Padzil bin Haji Ahmad atau lebih dikenali dengan nama penanya H. Padzil untuk terus bergiat aktif menyerlahkan ‘taring’ dalam setiap sentuhan karya lukisannya.
Tidak hairanlah demi rasa cintanya terhadap seni yang semakin ‘membara’, Haji Padzil, 65, mampu menghasilkan anggaran 50 buah karya lukisan dalam tempoh sebulan berkonsepkan tradisional dalam pelbagai saiz kanvas.
“Jika kita memahami makna perkataan seni itu secara lebih mendalam, ia membawa maksud yang begitu luas. Namun apabila kita menyentuh mengenai seni lukis, ia umpama lakaran sebuah kehidupan.
“Seorang insan seni itu perlu menjiwai ketika melakarkannya dengan cermat dan teliti sehingga mampu mewujudkan erti kepuasan cita rasa yang sebenar. Biarlah setiap sentuhan itu indah dipandang dan sampai ke hati,” jelas pelukis veteran tanah air berasal dari Kampung Setia, semasa berkesempatan ditemui penulis, baru-baru ini.
Karya memiliki ‘nyawa’ tersendiri
Beliau yang pernah bertugas di Jabatan Muzium-muzium berkongsi, beliau mula berjinak-jinak dengan bidang seni lukis ini sejak di bangku sekolah rendah lagi sekitar usia 10 tahun sehingga terus mendalaminya di peringkat sekolah menengah.







“Dengan bakat kurniaan Ilahi ini, saya lebih menjiwai seni lukis berkonsepkan tradisional. Adapun alat dan bahan asas yang sentiasa menjadi peneman menghasilkan karya seni ini iaitu berus, pensel dan pelbagai jenis cat seperti cat air, cat minyak, cat akrilik, arang, dan gabungan daripada bahan-bahan tersebut.
“Bukan hanya melukis semata-mata namun pemilihan warna yang bersesuaian dengan gambaran suasana begitu penting diterapkan agar karya-karya itu memiliki ‘nyawa’ yang tersendiri,” ujarnya.
Antara lukisan berbentuk pemandangan menarik yang terdapat di Negara Brunei Darussalam sering menjadi salah satu cetusan ilham bagi Haji Padzil, lebih-lebih lagi di saat memanfaatkan masa yang terluang ketika duduk bersantai di kediaman beliau.
Salah satu sentuhan karya lukisan pemandangan yang terbaharu dihasilkannya ialah keindahan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang mampu memberi halwa mata dan jiwa seseorang betapa indahnya keagungan Islam di bumi Darussalam. Selain itu, beliau juga sering melakar karya lukisan dengan menyerlahkan suasana Kampong Ayer yang sememangnya tersimpan pelbagai kisah di sebaliknya.
Serlah sentuhan nostalgia
Di dalam karya-karya yang dihasilkannya, beliau juga menjadikan pengalaman beliau sebagai cetusan idea untuk melukis seperti kenangan semasa mengikuti memproses pembuatan ambulong daripada pokok rumbia secara tradisional sekitar 80an dan 90an bersama masyarakat di Kampung Kuala Balai, Daerah Belait.
Selain itu, salah satu amalan tradisi yang sukar dilihat lagi di mana-mana pada masa ini iaitu aktiviti menampi beras menggunakan nyiru turut menjadi salah sebuah karya insan pejuang seni ini.
Jelas Haji Padzil, satu karya yang mampu membawa kita ke suasana kampung khususnya lingkungan keluarga yang memiliki sawah padi secara rutin akan melakukan proses membersihkan beras yang sudah dituai bagi memisahkan kulit padi dan kotoran-kotoran lain sebelum dicuci dan dimasak bagi santapan juadah sekeluarga.
“Setiap karya seni itu ada jalan ceritanya tersendiri, namun segalanya tergantung kepada kita untuk menginterpretasikannya, lebih-lebih lagi dalam menjadikannya sebuah pendidikan yang merentasi zaman dengan adanya nilai-nilai dorongan, motivasi dan juga nilai-nilai murni dalam meniti kehidupan ini,” tambahnya yang turut memanfaatkan platform media sosial Instagram bagi berkongsi perjalanan karyanya di bawah nama ‘Serambi12’.
Timbalah pengalaman bersama
Haji Padzil turut menaruh harapan tulus agar golongan pelukis muda untuk terus menimba lebih banyak pengetahuan dan pengalaman bersama pelukis-pelukis veteran kerana pengalaman mereka itulah yang ‘mahal’ dan sukar dicari ganti.
“Dunia seni lukis di negara ini semakin terserlah dari semasa ke semasa, malah ia sememangnya setanding dengan karya-karya pelukis yang terdapat di negara-negara luar. Pastinya juga pelukis di negara kita memiliki keunikan yang tersendiri.”
Beliau dalam pada itu juga berharap agar dapat melihat perkembangan karya seni lukis sebegini akan terus bergerak maju dengan nilai-nilai kreativiti dan penuh kualiti lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak untuk sama-sama memperkasakan industri seni lukis tempatan pada tahap yang sebaik-baiknya.

