Tuesday, December 3, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakar nama dalam dunia jam tangan

    Oleh Muhammad Basir Roslan –

    KUALA LUMPUR – Jam tangan edisi terhad Artwist memaparkan karya seni unik artis dari serata dunia dan tenaga penggerak utama kepada penghasilan produk unggul ini tidak lain dan tidak bukan ialah Bostami Ahmad yang juga pengasas Artwist.Co.

    “Fokus kami di Artwist.Co adalah untuk menghasilkan jam yang ada kisah tersendiri, menggabungkan seni dan keanggunan,” Bostami memberitahu Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

    Artwist.Co adalah sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia dengan sokongan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di bawah Program Global Market Fit Programme (GMP).

    Sebelum ini, mungkin tiada yang dapat membayangkan penghasilan jam edisi terhad karya seni mahupun imaginasi seniman boleh diabadikan pada jam tangan.

    Apa yang menarik, jam tangan yang dihasilkan oleh Artwist ini terhad kuantitinya – hanya dihasilkan antara 1 hingga 300 unit sahaja, menjadikan jam berkenaan unik dan menjadi buruan pengumpul barangan bernilai.

    Pengasas Artwist.Co.Bostami Ahmad menunjukkan antara koleksi jam Artwist yang terhad kuantitinya – hanya dihasilkan antara 1 hingga 300 unit sahaja, menjadikan jam berkenaan unik dan menjadi buruan pengumpul barangan bernilai. – Gambar Bernama
    Jam tangan edisi terhad Artwist memaparkan karya seni unik artis dari serata dunia dan tenaga penggerak utama kepada penghasilan produk unggul ini tidak lain dan tidak bukan ialah Bostami Ahmad yang juga pengasas Artwist.Co. – Gambar Bernama
    Antara jam unik dihasilkan Artiwst. – Gambar Bernama

    Setiap jam dikeluarkan dengan kuantiti yang terhad bagi membolehkan pereka dan jurutera jam mempunyai cukup masa serta ruang untuk menghasilkan karya produk baru dan mencari sumber inspirasi dengan ketepatan kualiti yang tinggi. Nombor siri yang tertera di permukaan belakang jam juga menjamin setiap jam berkenaan adalah unik dan tidak boleh ditiru.

    Kisah keusahawanan

    Menurut Bostami, 42, yang juga lepasan Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia (MMU), Artwist.Co ditubuhkan pada tahun 2018 untuk memberi ruang kepada seniman menjual karya seni mereka bagi menjana kewangan melalui kaedah kolaborasi produk yang dinamik.

    Memandangkan hasil lukisan mereka boleh menghiasi muka jam selain digantung di dinding, jam Artwist boleh dipakai, digayakan dan dibawa ke mana-mana sahaja di dunia.

    “Setakat ini, lebih daripada 25 artisan, termasuk dari Malaysia juga luar negara, seperti Nic Mac (London, England), Mayuko Miura (Tokyo, Jepun) dan pereka antarabangsa Aleksandra Erdogan dari Moscow, Rusia menyumbang kepada perniagaan ini,” katanya.

    Bostami menambah, produk terkini dengan lakaran tangan dan edisi terhad di bawah jenama Artwist, adalah hasil kerjasama dengan artis dan tokoh tersohor termasuklah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penyanyi yang juga komposer legenda, Datuk M. Nasir.

    Pada tahun 2021, Bostami dan rakan kongsinya Zakiyah Hasan menggabungkan kemahiran yang dikembangkan di Scuola Politecnica Di Design, Milan serta mempunyai pengalaman projek rekabentuk dengan syarikat Lamborghini, Moleskine, Whirlpool, 3M di Itali dan Google XPrize Moon Mission di Amerika.

    Sewaktu pertemuan dengan Bostami di ibu pejabat syarikat mereka di Cyberjaya, penulis berpeluang melihat sendiri beberapa koleksi jam tangan unik yang dihasilkan.

    Bagi penulis, jam tangan yang paling menakjubkan adalah yang diberi nama ‘Gerbang’, yang menggambarkan hasil karya seni Masjid Al-Aqsa di Palestin, dilukis sendiri oleh Datuk M.Nasir.

    Koleksi ini yang turut mengetengahkan jam tangan edisi ‘Suatu Masa’ (antara lagu popular M.Nasir), dihasilkan bagi meraikan ulang tahun ke-40 beliau dalam dunia muzik.

    Jam tangan ini sudah tentu menjadi idaman peminat penyanyi legenda ini yang dikenali dengan nama pentasnya ‘Sifu’ kerana pada jam tangan serta kad jaminan jam berkenaan tertera nama dan tandatangan beliau.

    Menjulang populariti

    Bostami turut berkongsi pengalaman pertemuannya dengan Datuk M. Nasir untuk pengeluaran dua set rekaan jam tangan edisi terhad, dan ia adalah salah satu acara utama yang melonjakkan jenama Artwist.

    “Koleksi jam tangan ini menjadikan kami lebih terkenal kepada pelanggan serta pasaran tempatan. Sewaktu sesi pameran jualan di Konsert Satu Hikayat 40 tahun Datuk M. Nasir (23-24 Nov 2019) di Dewan Plenary, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), kesemua 120 unit jam tangan yang dipamerkan habis dijual. Di sinilah kami melihat peluang keemasan untuk melebarkan empayar kami dalam industri pembuatan jam melalui strategi co-brand dan bersaing dengan jenama jam tangan global yang lain,” katanya.

    Pengeluaran jam tangan edisi terhad yang juga menjadi strategi teras perniagaan Artwist.Co, juga membuka peluang kepada seniman untuk meraih keuntungan daripada nilai jualan semula jam tangan berkenaan, yang lazimnya nilai harganya akan meningkat mengikut peredaran masa.

    “Seorang artisan mahir tempatan dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan bernama Kide juga turut bekerjasama dengan menghasilkan siri koleksi ‘Janji Temu’ termasuk tokoh cerita rakyat Malaysia seperti Kanda dan Juwita yang mempamerkan keunikan seni catan pada permukaan jam tangan tersebut, ” katanya, menambah, karya seni ini diabadikan di jam tangan Artwist.

    Artwist juga menyediakan khidmat mengukir nama secara percuma di bahagian belakang jam bagi unit ekslusif tertentu, juga rekaan customization bagi tempahan korporat.

    Teknologi tinggi

    Menurut Bostami, setiap reka bentuk jam menggambarkan intipati dan prinsip syarikat serta bagi memenuhi keperluan reka bentuk selaras dengan piawaian antarabangsa dan trend pasaran, beliau bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi pembuatan antabangsa dan profesional industri pembuatan jam melalui co-manufacturing partnership.

    “Penghasilan konsep lukisan dan reka bentuk akan melibatkan hasil seniman dan persetujuan rakan kolaborasi sepanjang proses pembuatan satu-satu siri model tertentu. Ianya juga adalah langkah pertama dalam kerja reka bentuk kreatif. Proses berikutnya adalah olahan visual dan pemilihan bahan yang sesuai dengan tema serta spesifikasi model jam.

    “Langkah seterusnya merupakan proses rekabentuk 3D untuk menghasilkan prototaip. Apabila siri koleksi sedia untuk dikomersialkan, pihak Artwist membuat pemasangan dan ujian teknikal jam tangan tersebut dengan bantuan rakan kongsi strategik kami, ” katanya.

    Artwist juga mahu menghasilkan seni karya yang halus seperti yang boleh dilihat menerusi watch dial-pad yang menunjukkan kemahiran eksklusif setiap hasil seniman dan artisan yang terlibat.

    “Sebagai contoh, mana-mana peminat tegar kumpulan rock legenda Wings boleh membeli jam edisi khas yang dikeluarkan sempena ulang tahun ke-35 Wings bertemakan ‘Black Edition’ dengan ciri sporty.

    “Logo Artwist.Co dan Wings boleh dilihat dengan jelas pada permukaan jam tangan, dan tiada pengeluaran lain selepas jam berkenaan habis dijual,” tambahnya.

    Berhubung teknologi enjin jam yang digunakan, Bostami berkata, Artwist secara eksklusif memilih teknologi terbaik, yang diperolehi dari Jepun. Untuk tujuan ini, syarikat itu menjalin kerjasama dengan menggunakan enjin Seiko dan Miyota menerusi rakan kongsi pembuatan, bagi menghasilkan jam tangan yang berkualiti tinggi.

    Meraikan pemimpin M’sia

    Di samping kerjasama dengan pelbagai tokoh, kumpulan muzik dan jenama label tempatan, Artwist.Co juga dalam proses untuk mengetengahkan tokoh perdana menteri yang banyak menyumbang kepada kemajuan serta pemodenan Malaysia, menerusi koleksi jam tangannya.

    Menurut beliau, syarikatnya berganding bahu dengan Arkib Negara Malaysia dan Yayasan Kepimpinan Perdana bagi memberi penghormatan kepada personaliti ikonik Malaysia dengan menghasilkan koleksi Negarawan – Siri Perdana Menteri Malaysia.

    “Edisi terhad jam tangan ini adalah gabungan warisan tradisional dan reka bentuk kontemporari mewah, memaparkan gaya tersendiri setiap perdana menteri. Kami menghasilkan jam tangan yang mahu dipakai bukan sahaja kerana fungsi tradisinya menunjukkan masa tetapi kerana keunikan reka bentuknya,” jelasnya.

    Salah satu projek berimpak syarikat ini ialah untuk meraikan Ulang Tahun ke-40 Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 (1981-2021), yang juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

    Untuk jalinan eksklusif ini, Artwist mereka bentuk dua edisi jam tangan yang diberi nama Patriot dan Wawasan, menggabungkan nilai keanggunan moden serta estetika abadi.

    Selain daripada siri Tun M, ia juga menghasilkan siri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Pertama) yang juga disertakan dengan wang syiling edisi terhad serta sebuah buku kecil eksklusif yang mengandungi gambar Tunku Abdul Rahman, yang jarang dilihat, diperolehi daripada koleksi Arkib Negara Malaysia. Sementara untuk siri jam tangan Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri ke-6), ia terdiri daripada dua model unik iaitu versi Bossku dan Transformasi.

    Syarikat ini juga sedang dalam rundingan untuk menghasilkan koleksi jam tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda