Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakar strategi baharu ke arah wawasan 2035

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Bagi tahun 2024, kerajaan akan tetap menyasarkan pencapaian matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Maka untuk itu, kerajaan melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation akan terus melakar strategi baharu menerusi rangka-rangka tindakan yang diyakini mampu untuk membawa negara lebih dekat kepada matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah sempena Tahun Baharu Masihi 2024, hari ini.

    Titah Baginda lagi, rangka-rangka tindakan berkenaan akan sentiasa dikemas kini bagi memastikan ia sentiasa relevan dan apa jua jurang dalam perancangan dan perlaksanaan akan ditangani secara kolektif tanpa bertangguh.

    Dalam pada itu, titah Baginda lagi, faktor luar seperti pergolakan geopolitik, krisis kesihatan global, kesan perang dagang antara kuasa-kuasa besar dan kepesatan kemajuan teknologi akan terus mempengaruhi hala tuju dunia, dengan bahangnya juga turut dirasai oleh negara kita.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena awal tahun baharu Masihi 2024. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Apa yang pasti, tegas Baginda, kita perlu mendepani keadaan ini dengan fikiran terbuka untuk memahami perubahan tersebut dan seterusnya memanfaatkan sepenuhnya apa juga peluang yang dibawanya.

    Menyentuh mengenai kepelbagaian ekonomi, Baginda sangat gembira atas perkembangan sektor bukan minyak dan gas yang sangat menggalakkan, dengan peningkatan 5.3 peratus bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

    “Ini tentu sahaja hasil usaha bersepadu kerajaan Beta dengan kerjasama sektor swasta dalam mempelbagaikan ekonomi negara, dan usaha ini tidak boleh berhenti malah digiatkan terus untuk mencapai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan,” titah Baginda.

    Ke arah itu, tegas Baginda, perkhidmatan awam negara ini perlu terus meneliti dan melaksanakan pembaikan dasar dan peraturan sebagai langkah memperkemaskan lagi sistem penyampaian perkhidmatan yang sedia ada, khasnya ke arah mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi pertumbuhan perniagaan dan pelaburan, di samping menekankan akauntabiliti penjawat awam.

    Dalam masa yang sama, penerapan nilai Islam dalam semua aspek urus tadbir perlu terus dititikberatkan selaras dengan langkah memelihara Maqasid Syariah bagi kelangsungan dan kestabilan negara.

    Baginda turut mengongsikan, beberapa bulan yang lalu kerajaan Baginda telah melaksanakan dua inisiatif penting untuk kebajikan warga kerja dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta iaitu Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) dan gaji minimum bagi sektor tertentu.

    Baginda berharap inisiatif berkenaan akan jadi pendorong untuk memajukan diri baik di sektor kerajaan mahupun swasta.

    Di samping itu, Baginda turut mengongsikan mengenai pendidikan di mana perlaksanaan pengintegrasian mata pelajaran agama dari Darjah Pra hingga Darjah 3 ke dalam sistem pendidikan umum yang bermula November lepas telah menimbulkan pelbagai persepsi
    dan reaksi.

    Dalam perkara itu, Baginda berharap semua pihak akan memahami bahawa rancangan berkenaan bertujuan untuk menjaga kesejahteraan para pelajar melalui keseimbangan suasana dan pembelajaran.

    Ke arah itu, titah Baginda, sokongan semua pihak khasnya ibu bapa adalah masih diperlukan bagi keberkesanan dan kesinambungan usaha berkenaan.

    Manakala itu, dari sudut lain pula, negara akan terus mengambil berat usaha-usaha di peringkat global berkaitan isu perubahan iklim.

    Sehubungan itu, pembentukan Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) dan pelantikan negara sebagai tuan rumah bagi Pusat Perubahan Iklim ASEAN merupakan antara terjemahan daripada komitmen yang disebutkan.

    Mengenai hal ehwal luar negara pula, titah Baginda, Negara Brunei Darussalam turut melahirkan kebimbangan yang amat mendalam terhadap keganasan yang sedang berlaku di Palestin dan mengharapkan supaya pihak berkenaan akan terus mematuhi kewajipan menghormati undang-undang antarabangsa.

    Ini termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu khasnya dalam usaha melindungi keselamatan orang awam.

    “Sama-sama kita berdoa semoga rakyat Palestin akan sentiasa mendapat perlindungan dan pemeliharaan Allah dan sebagai tanda simpati yang mendalam Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan menubuhkan tabung kemanusiaan untuk rakyat Palestin di samping doa dan Qunut Nazilah bagi rakyat dan negara Palestin juga dibaca di masjid-masjid.”

    Selain itu, Baginda berharap rakyat dan penduduk Brunei akan sama-sama menyumbang kepada tabung berkenaan sebagai derma kerana Allah.

    Seterusnya, Baginda turut menjelaskan, pada tahun ini Negara Brunei Darussalam akan menyambut 40 tahun negara mencapai kemerdekaan penuh.

    “Kejayaan kita dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan dalam tempoh yang lama ini adalah berkat usaha bersepadu dan dengan izin Allah dan semoga sambutan kali ini akan mengukuhkan lagi patriotisme dalam kalangan generasi masa kini selaku rakyat dan penduduk yang taat setia lagi gigih untuk membawa negara mencapai Wawasan Brunei 2035,” titah Baginda.

    Di akhir titah, Baginda merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain termasuk yang berkhidmat di sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), atas komitmen dan usaha gigih melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang 2023.

    Baginda Sultan juga sukacita merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan antarabangsa atas kerjasama yang baik lagi ikhlas antara kita.

    Selamat Tahun Baharu Masihi 2024 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini termasuk mereka yang berada di luar negara dan semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmatNya bersama keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda