Sunday, April 21, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Lakaran 3D pelukis OKU tarik perhatian

    KUALA LUMPUR – Siapa sangka kegemaran bereksperimen mereka bentuk rumah Melayu tradisional menggunakan perisian grafik tiga dimensi (3D) Kinetix 3D Max lebih dua dekad lalu, meletakkan Faizal Rahmat sebagai pelukis 3D dalam kelas tersendiri.

    Kepakaran Faizal, 41, dalam menggabungkan seni bina Melayu klasik dan ketamadunan moden lain menarik perhatian banyak pihak, dari dalam dan luar negara.

    Istana Besar Johor dan Istana Negara antara bangunan utama yang pernah menerima sentuhan magis arkitek dan pereka dalaman ini.

    Malah, karya beliau juga pernah dipaparkan dalam majalah sejarah berpangkalan di Jerman, GEO Epoche.

    Berkongsi pengalamannya dengan Bernama baru-baru ini, Faizal berkata beliau dipelawa bekerjasama dengan sebuah firma pereka bentuk dalaman terkemuka di ibu kota bagi menyediakan reka bentuk 3D balai singgahsana dan dewan bankuet Istana Besar Johor.

    “Ia bersempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2015. Saya begitu teruja kerana itu adalah kali pertama saya terlibat dalam istiadat sedemikian.

    Salah satu lakaran 3D Dewan Menghadap Istana Negara. – Gambar oleh Faizal Rahmat
    Lakaran 3D Balairong Seri Istana Negara yang mengambil gabungan kesenian British dan Melayu Nusantara. – Gambar oleh Faizal Rahmat

    Faizal menunjukkan salah satu karya miliknya yang diterbitkan dalam majalah GEO Epoche. – Gambar oleh Muhammad Basir Roslan
    Faizal Rahmat melakar reka bentuk rumah Melayu tradisional menggunakan perisian grafik tiga dimensi (3D) Kinetix 3D Max. – Gambar oleh Muhammad Basir Roslan

    “Selepas mengkaji konsep untuk diketengahkan, saya memilih gabungan kesenian British dan Melayu Nusantara, menjadikan Istana Buckingham sebagai inspirasi dan diterjemahkan dalam bentuk lebih Islamik serta ada ciri kemelayuan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Setapak di sini.

    Selain itu, lulusan seni bina daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tersebut berkata beliau turut ditugaskan mereka bentuk semula mahkota Sultan Johor kepada corak yang lebih moden selaras dengan usaha pemodenan yang dibawa oleh Sultan Ibrahim.

    Projek Istana Besar Johor menjadi antara kenangan paling bermakna baginya kerana ia merupakan projek terakhir yang dapat disaksikan oleh ibunya Ainon Ismail, sebelum meninggal dunia pada tahun sama akibat kanser.

    Sentuhan magis di Istana Negara

    Empat tahun kemudian, anak jati Pekan, Pahang ini bekerjasama dengan seorang pereka fesyen terkenal tanah air bagi mereka bentuk semula beberapa bahagian dalaman Istana Negara sebagai persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

    “Pada satu malam ketika di kampung, saya menerima satu pesanan di Facebook mengenai sebuah projek untuk Istana Negara. Pada awalnya saya skeptikal sebab sekarang ramai scammer, jadi saya minta lelaki itu hubungi saya semula.

    “Esok harinya, lelaki itu menghubungi saya dan memperkenalkan dirinya sebagai (pereka fesyen) Datuk Rizalman Ibrahim. Tanpa berlengah saya terus menerima tawaran projek tersebut,” ujarnya.

    Kongsi beliau lagi, mereka bekerjasama mereka bentuk kembali balairong seri serta ketiga-tiga dewan menghadap iaitu Seri Mahkota, Seri Negara dan Seri Maharaja.

    Menurutnya, kali ini beliau mengambil inspirasi daripada balai menghadap istana raja-raja Melayu di pantai timur pada zaman dahulu, misalnya menggunakan gabungan dinding janda berhias dan ukiran Melayu tradisional.

    “Saya juga berikan sentuhan moden menggunakan panel cermin,” ujarnya, menambah sentuhan mereka juga dapat dilihat di dewan bankuet Istana Negara.

    Pengalaman luas sebagai arkitek selepas tamat pengajian pada 2005 dan pernah bekerja dengan beberapa firma seni bina di dalam dan luar negara antaranya Dubai, nyata banyak membantu menajamkan hasil seni karya 3D beliau. Ditambah pula dengan minat mendalam terhadap penulisan Melayu klasik.

    “Antara buku yang sering dirujuk ialah Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Penurunan Segala Raja-Raja/The Malay Annals) karya Tun Sri Lanang. Saya turut meminati karya tulisan A. Samad Ahmad, William Girdlestone Shellabear dan Richard Olaf Winstead. Semua ini saya gabung dan terjemahkan ke dalam bentuk karya termasuklah untuk projek Istana Negara.

    “Prinsip saya, setiap karya yang dihasilkan khususnya bangunan, mestilah dimasukkan elemen kemanusiaan (dalam reka bentuk) dan saya akan sentiasa ‘memanusiakan’ karya dengan cara ada bayangan manusia dan perbuatan yang biasa dibuat, contohnya kerusi yang ditarik, kasut yang ditinggalkan dan susunan pinggan mangkuk di atas meja,” tambahnya.

    Ujian menimpa

    Selepas sekian lama menikmati kejayaan demi kejayaan, beliau tiba-tiba berdepan saat paling mencabar pada awal 2020 apabila penyakit vascular peripheral, iaitu penyempitan pembuluh darah yang dialami sejak 2013, menyebabkan beliau kehilangan kaki kiri.

    “Sebenarnya kedua-dua kaki saya ini memang telah lama sakit, seingat saya seawal 2013 memang dah mula sakit berdenyut-denyut, boleh jadi disebabkan dulu saya seorang penghisap rokok tegar.

    “Ketika projek Istana Negara, kaki saya sudah rasa sakit sangat, sampai hitam kedua-dua kaki sebab kesan pembuluh darah mati di bawah kulit. Banyak kali saya cuba dapatkan rawatan di hospital namun masih tidak sembuh.

    “Apabila tiba hari pembedahan kaki kiri di Hospital Kuala Lumpur, saya reda dan pasrah kerana status hidup saya akan berubah menjadi OKU,” katanya, menambah penyakitnya itu turut menyebabkan beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap.

    Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi peluang kepadanya untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup sebagai OKU.

    Kembangkan potensi

    Status itu tidak menghalang beliau untuk terus berkembang. Sebaliknya beliau mengatur semula hidupnya termasuk memutuskan untuk menjadi pelakar 3D bebas sepenuh masa yang membolehkannya menyiapkan tempahan sambil menjalani pemulihan.

    “Sepanjang tempoh ini mujurlah ada satu karya awal saya iaitu keindahan dan kemegahan Kota Melaka serta model Istana Melaka yang hingga kini menjadi antara karya yang sering diulang tempah oleh orang ramai.

    “Karya saya banyak terjual menerusi platform Facebook, Twitter dan laman non-fungible token (NFT) dengan harga RM100 hingga 150 untuk sekeping gambar digital.

    “Paling saya tidak sangka ada seorang individu menghubungi saya dan ingin membeli seluruh set gambar digital Kota Melaka ini pada harga RM10,000, memang tidak terbayang akan dapat jual sebanyak itu.

    “Saya bersyukur kerana gambar digital yang menunjukkan keunggulan Kota Melaka ini masih lagi dihargai masyarakat umum,” katanya menambah karya Kota Melaka adalah hasil usaha kerasnya melakukan kajian mendalam terhadap beberapa buku sejarah seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Suma Oriental.

    Menurut beliau, karya itu dihasilkan pada 2013 namun kajian dan pengumpulan bahan bermula pada 2004.

    “Mereka beli model Kota Melaka untuk pelbagai tujuan, antaranya dimasukkan dalam cadangan projek yang hendak dihantar kepada kerajaan negeri, projek animasi pelajar kolej, telefilem, drama dan pelbagai lagi,” katanya, menambah karya itu juga yang dipaparkan dalam majalah GEO Epoche.

    “Bayangkan editor majalah Jan Dressler pada Mei 2021 menghubungi nombor WhatsApp saya dan meminta kebenaran untuk menerbitkan karya saya dalam edisi khas Sejarah Asia Tenggara majalah tersebut.

    “Beliau cuba mencari gambar-gambar di merata tempat yang menggambarkan keagungan Kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu namun gagal, sehinggalah beliau terjumpa hasil karya saya di Facebook.

    “Saya berasa amat berbangga kerana berjaya menaikkan nama anak tempatan ke pentas dunia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...