Lakaran mural suntik tenaga hapus virus

JAKARTA, 14 APRIL – Dari lakaran raksasa yang menyerupai seekor kucing dengan alat pemukul untuk menghapuskan virus COVID-19, sekumpulan pelukis Indonesia telah beralih ke mural dinding untuk membantu membendung jumlah jangkitan yang semakin meningkat.

Para pelukis di Jakarta melihat tindakan ini sebagai satu tanggungjawab untuk memberi kesedaran mengenai bahaya COVID-19 dan menggunakan lakaran mural bagi mengisi masa lapang mereka sekali gus dapat meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai ancaman virus tersebut.

“Kepanikan yang tidak perlu ini membuatkan saya untuk melakukan lakaran mural, di mana saya mahu menyuntik semangat yang dapat memberikan kita satu tenaga positif untuk kembali melawan virus ini,” kata salah seorang pelukis, Sulis Listanto. “Lebih mudah untuk mendidik orang melalui gambar.”

Dalam lakaran itu, Listanto melukis dunia sedang diserang oleh virus itu dengan perkataan tertera ‘Selamatkan Dunia.’

Seorang lagi pelukis mural, Yahya mendapat inspirasi untuk melukis montaj berwarna-warni menasihati orang untuk sentiasa berada di rumah. “Kami dulu melukis mural di sekolah atau kafe, tetapi kami tidak mempunyai pekerjaan sekarang,” katanya.

“Melalui kerja ini kami menggesa orang ramai untuk tinggal di rumah dan menghargai pekerja kesihatan.” – AFP