‘Lakas tah Membaca Al-Quran’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, bulan Ramadan adalah kesempatan yang paling berharga untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran, sama ada secara bertadarus ataupun berseorangan, lebih-lebih lagi sehingga khatam bacaan 30 juzuk.

Al-Quran adalah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan dan dengan membacanya dalam bulan yang suci lagi mulia ini, para pembacanya akan memperoleh pahala yang berlipat kali ganda.

Ini kerana orang yang membaca Al-Quran juga akan mendapat rahmat dan limpah kurnia daripada Allah SWT.

Perkara berkenaan diketengahkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk dalam tazkirah bertajuk ‘Lakas tah Membaca Al-Quran’ sempena Program Ramadan Mubarak bersama KUPU SB yang disiarkan secara dalam talian.

Beliau berkata bahawa dalam bulan Ramadan, Allah ingin umat-Nya untuk mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dan salah satu ca-ranya ialah dengan memperbanyakkan bacaan Al-Quran.

Al-Quran merupakan petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa, yang mana dalam Al-Quran mempunyai sebanyak 1,027,000 huruf dan jika dibayangkan kalau khatam Al-Quran bermakna pembacanya memperolehi lebih kurang 10 juta pahala kebaikan, dan apatah lagi jika ia dilaksanakan dalam bulan Ramadan dan pahalanya semestinya berlipat kali ganda, ujar Haji Mohammad Shahrol Azmi.

Haji Mohammad Shahrol Azmi semasa menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Lakas tah Membaca Al-Quran’ sempena Program Ramadan Mubarak.