Sunday, April 13, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakastah buat pemeriksaan saringan kanser kolorektal

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Kanser kolorektal merupakan salah satu kanser yang paling kerap didiagnosis di peringkat global termasuk di Negara Brunei Darussalam. Mengikut data yang diperoleh daripada Daftar Kanser Brunei Darussalam, kanser kolorektal merupakan kanser paling lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita pada tahun 2023.

    Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal disambut setiap bulan Mac di seluruh dunia, untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser kolorektal termasuk faktor risikonya serta kepentingan menjalani ujian saringan.

    Sehubungan itu, kanser kolorektal dapat dikesan awal melalui ujian saringan. Saringan kesihatan adalah satu kaedah sangat berkesan dan kos efektif dalam menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit termasuk kanser. Ianya berperanan penting dalam mencegah dan mengesan penyakit itu pada peringkat awal sebelum ianya memudaratkan dalam kalangan mereka yang tidak atau belum menunjukkan sebarang tanda atau gejala penyakit.

    PROGRAM PEMERIKSAAN KESIHATAN KEBANGSAAN

    Menurut Pelan Tindakan Pelbagai Sektor bagi Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit Negara Brunei Darussalam (BruMAP-NCD) 2021-2025, sasaran untuk saringan kanser kolorektal adalah untuk mencapai peningkatan 50 peratus dalam populasi yang layak disaring menjelang 2025.

    Pegawai Perubatan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Brunei, Dr Siti Zuhrini binti Haji Kahan semasa berkesempatan ditemui pengamal media pada sekitar pertengahan bulan Mac lalu, berkata ujian saringan bagi kanser kolorektal di Negara Brunei Darussalam telah diperkenalkan pada tahun 2019 melalui Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan.

    Kakitangan Kementerian Kesihatan semasa melaksanakan jerayawara Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan di negara ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Program itu bertujuan untuk mengesan penyakit pada peringkat awal yang mana penyakit tersebut akan lebih mudah dirawat dan akan dapat mengelakkan atau mengurangkan komplikasi penyakit.

    “Pemeriksaan kanser kolorektal melibatkan ujian najis, yang mana awda diperlukan untuk memberi sampel najis untuk diperiksa di makmal bagi mengesan darah dalam najis,” tambahnya.

    BAGAIMANA KANSER KOLOREKTAL DIKESAN AWAL?

    Dr Siti Zuhrini menjelaskan lanjut, ujian najis yang digunakan dalam saringan kanser kolorektal itu dikenali sebagai Ujian Immunokimia Najis (FIT) yang bertujuan untuk mengesan darah dalam sampel najis.

    “Ujian ini menggunakan sampel najis yang telah diambil dari bekas simpanan najis dan ianya dapat mengesan darah yang tersembunyi dalam najis menggunakan antibodi khusus.

    “Ujian ini tidak memerlukan prosedur yang invasif. Orang ramai hanya perlu mengambil contoh najis ke dalam bekas simpanan najis yang disediakan dan ini boleh dilakukan sendiri di rumah. Mereka hanya perlu menghantar bekas tersebut ke pusat kesihatan yang berdekatan pada hari yang sama. Ujian ini juga sangat berkesan dalam membantu mengesan perubahan awal dalam usus yang mungkin menjadi petanda awal kanser kolorektal,” ujar beliau.

    SIAPA YANG PERLU MENJALANI UJIAN SARINGAN?

    Dr Siti Zuhrini menambah Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal itu terbuka kepada semua warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 50 hingga 75 tahun dan juga mereka tidak pernah mempunyai sejarah kanser kolorektal; tidak menjalani pemeriksaan najis untuk mengesan darah dalam tempoh dua tahun kebelakangan dan juga mereka yang tidak menjalani kolonoskopi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan

    Jelas beliau lagi, jika awda memenuhi kesemua kriteria tersebut, awda bolehlah membuat perjanjian melalui aplikasi BruHealth dengan mengakses ‘Saringan Kanser Kolorektal’ melalui ciri ‘Penilaian Risiko’. Ciri itu telah diperkenalkan dalam aplikasi BruHealth untuk membolehkan pengguna menempah terus perjanjian saringan pemeriksaan kanser kolorektal tanpa perlu hadir ke pusat kesihatan awda.

    Bagi mereka yang tidak dapat membuat perjanjian melalui aplikasi BruHealth, awda boleh hadir ke pusat kesihatan yang berdekatan untuk mendaftar bagi program pemeriksaan kanser kolorektal yang mana jururawat pemeriksaan kesihatan akan menghubungi awda untuk memaklumkan tarikh perjanjian awda.

    Dr Siti Zuhrini seterusnya menjelaskan, awda juga akan dimaklumkan oleh jururawat pemeriksaan kesihatan untuk mengambil bekas simpanan najis seminggu sebelum perjanjian di pusat kesihatan yang berdekatan.

    Awda perlu mengambil contoh najis dan memasukkannya ke dalam bekas simpanan najis kemudian sampel tersebut harus dihantar ke Kaunter Perkhidmatan Phlebotomi di pusat kesihatan yang ditetapkan pada hari yang sama. Sampel kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya.

    “Keputusan ujian awda akan dijelaskan oleh jururawat pemeriksaan kesihatan semasa perjanjian awda. Jika keputusan ujian najis awda adalah negatif, awda akan dijemput semula untuk melakukan ujian saringan dalam tempoh dua tahun. Manakala jika keputusan ujian najis awda adalah positif, awda akan dirujuk ke Klinik Gastroenterologi untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya lagi.

    Namun tegas beliau, keputusan ujian najis yang positif tidak semestinya bermaksud awda mempunyai kanser kolorektal, kerana terdapat keadaan lain yang juga menyebabkan darah dalam najis seperti polip, atau keradangan usus besar. Walau bagaimanapun, keputusan positif memerlukan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti punca darah dalam najis. Itu biasanya melibatkan konsultasi bersama pakar gastroenterologi dan prosedur kolonoskopi.

    KOLONOSKOPI

    Dr Siti Zuhrini turut berkata, kolonoskopi adalah satu prosedur untuk memeriksa bahagian dalam usus besar dan rektum. Sebuah tiub sebesar saiz jari telunjuk yang terdapat kamera kecil di hujungnya akan dimasukkan melalui bahagian belakang (dubur) dan seterusnya ke dalam usus besar.

    Sebelum prosedur dimulakan, awda akan diberikan ubat sedatif untuk membantu awda merasa tenang dan mengurangkan ketidakselesaan. Prosedur itu sendiri akan mengambil masa kurang lebih 30 minit.

    Dengan menjalani saringan secara berkala, kanser kolorektal boleh dikesan lebih awal, sebelum adanya tanda-tanda atau simptom. Itu dapat meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan dan mengurangkan risiko komplikasi. Namun, kadar penyertaan dalam saringan kanser kolorektal masih rendah, walaupun ujian itu mudah dan tidak menyakitkan.

    “Jika awda berumur di antara 50 ke 75 tahun, jangan lepaskan peluang untuk menjalani saringan kesihatan! Apatah lagi saringan ini diberikan secara percuma buat warganegara dan penduduk tetap di negara ini. Selain daripada itu, mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah penting untuk mengurangkan risiko mendapat kanser kolorektal,” ujar beliau.

    Kanser kolorektal ialah kanser yang berlaku di usus besar (kolon) atau rektum. Ia bermula apabila sel-sel di bahagian itu tumbuh secara tidak terkawal yang membawa kepada ketumbuhan. Ketumbuhan itu boleh menjadi kanser jika tidak di rawat dan apabila menjadi kanser ianya boleh merebak ke bahagian yang lain di tubuh badan.

    Kolon atau usus besar ialah organ yang menyerap air dan nutrien daripada makanan yang telah dicerna sebelum sisa makanan dihantar ke rektum iaitu bahagian akhir usus besar yang menyimpan najis sebelum dibuang dari badan melalui dubur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda