Monday, February 24, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakers akhiri sembilan kemenangan Nuggets

    DENVER, 23 FEB – Luka Doncic menjaringkan 32 mata dalam aksi terbaiknya bersama Lakers setakat ini, membantu Los Angeles mencatat kemenangan besar 123-100 di Denver semalam, sekali gus menamatkan sembilan kemenangan berurut-turut Nuggets.

    LeBron James menambah 25 mata, Austin Reaves menyumbang 23 mata dan Rui Hachimura 21 mata sebelum terpaksa keluar akibat kecederaan di bahagian kiri badannya dengan perlawanan berbaki 10 minit.

    Namun, ketiadaannya tidak menjejaskan Lakers yang terus mengukuhkan kedudukan dengan melebarkan jurang kepada 19 mata.

    Lakers tidak pernah ketinggalan sepanjang perlawanan dan meraih kemenangan pertama di Denver sejak 10 April 2022, selepas tewas 13 daripada 14 pertemuan terakhir mereka menentang Nuggets.

    Doncic, yang hanya mencatat purata 14.7 mata dalam tiga perlawanan pertamanya bersama Lakers, melepasi angka itu dalam tempoh kurang 10 minit dan mengumpul 19 mata menjelang separuh masa pertama ketika Lakers mendahului 63-54.

    Luka Doncic melakukan jaringan melepasi Michael Porter Jr., pada separuh masa kedua perlawanan bola keranjang NBA, pada 22 Februari, di Denver. – AP

    Aaron Gordon menjaringkan 24 mata dan Jamal Murray menyumbang 19 untuk Denver, yang tewas buat kali pertama bulan ini.

    Nikola Jokic pula mencatat triple-double ke-26 musim ini, tetapi hanya berjaya dengan dua daripada tujuh percubaan selain melakukan enam kesilapan.

    Nuggets masih belum pernah mencatat 10 kemenangan berturut-turut sepanjang sedekad Michael Malone membimbing pasukan tersebut.

    Lakers akan kembali ke gelanggang sendiri untuk memulakan siri enam perlawanan berturut-turut, bermula Selasa nanti menentang Dallas Mavericks, yang menandakan pertemuan pertama Doncic dengan bekas pasukannya sejak perpindahannya ke LA pada 2 Februari sebagai pertukaran dengan Anthony Davis.

    Sementara itu, kekalahan itu telah menjejaskan prestasi cemerlang Nuggets, yang mana sembilan kemenangan berturut-turut mereka sebelum ini tidak melibatkan mana-mana pasukan dalam enam teratas liga.

    Nuggets bakal bertemu Indiana Pacers di tempat lawan pada Isnin. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda