LOS ANGELES, 19 JUN – Los Angeles Lakers bakal dijual dalam satu perjanjian pecah rekod bernilai AS$10 bilion, sekali gus menjadikan francais sukan paling bernilai dalam sejarah Amerika Syarikat, lapor ESPN kelmarin.
Laporan itu berkata keluarga Buss selaku pemilik utama Lakers, akan menjual pegangan saham mereka dalam pasukan itu kepada jutawan Mark Walter, yang sudah memiliki saham minoriti dalam francais itu.
Walaupun Jeanie Buss akan kekal sebagai Gabenor Lakers, perjanjian itu menamatkan pemilikan keluarga Buss selama 46 tahun ke atas gergasi NBA itu.
Walter ialah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induk TWG Global yang telah membina portfolio pasukan sukan profesional yang mengagumkan, termasuk Los Angeles Dodgers dan Los Angeles Sparks.
Dia juga merupakan sebahagian daripada kumpulan pemilik kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.
TWG juga memiliki kejohanan tenis Piala Billie Jean King dan pasukan Formula Satu Cadillac.
Walaupun butiran lanjut mengenai perjanjian itu tidak didedahkan, legenda Lakers Earvin ‘Magic’ Johnson rakan kongsi perniagaan Walter adalah antara yang pertama menyambut baik berita perjanjian itu menerusi hantaran di platform X.
“Peminat Lakers sepatutnya gembira,” kata Johnson.
“Beberapa perkara yang saya boleh beritahu mereka tentang Mark dia didorong oleh kemenangan, kecemerlangan dan melakukan segala-galanya dengan cara yang betul. Dan dia akan melabur sumber yang diperlukan untuk menang! Saya faham mengapa Jeanie menjual pasukan itu kepada Mark Walter kerana mereka berfikiran sama,” tambahnya. – AFP
