Thursday, April 24, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakers bangkit ikat siri, tundukkan Timberwolves

    LOS ANGELES, 23 APRIL – Los Angeles Lakers memberi respons mantap selepas kekalahan memalukan dalam aksi pembukaan Siri Playoff Pusingan Pertama NBA, apabila menewaskan Minnesota Timberwolves 94-85 dalam perlawanan kedua, semalam.

    LeBron James menjaringkan 21 mata, 11 rebound dan tujuh assist sambil melakukan satu steal penting pada suku keempat. Luka Doncic turut menyerlah dengan 31 mata, 12 rebound dan sembilan assist.

    “Kami mengambil serius kekalahan lalu dan saling bertanggungjawab. Keputusan hari ini jauh lebih baik,” kata James. Austin Reaves menambah 16 mata buat Lakers yang mendahului sehingga 22 mata di awal perlawanan dan mengekalkan kelebihan meskipun diasak dalam perlawanan yang sarat dengan kekasaran – 46 foul dan beberapa semakan video.

    Rui Hachimura mengalami pendarahan hidung awal perlawanan selepas terkena tamparan, tetapi kembali bermain dengan memakai topeng muka, yang kemudian ditanggalkannya kerana tidak selesa.

    Jurulatih JJ Redick berpuas hati dengan reaksi pasukannya, meskipun terpaksa memberi teguran keras semasa timeout di suku akhir untuk mengekalkan fokus.

    Minnesota, yang membelasah Lakers 117-95 dalam perlawanan pertama menerusi 21 jaringan tiga mata, gagal mengulangi prestasi tersebut. Julius Randle menyumbang 27 mata dan Anthony Edwards 25 mata, namun mengakui sukar menembusi pertahanan Lakers.

    “Mereka bertahan secara zon bila saya pegang bola. Bila saya cuba masuk, tiga orang mengepung saya. Saya perlu buat keputusan lebih cepat,” kata Edwards. Perlawanan ketiga akan berlangsung di Minneapolis pada malam Jumaat. – AP

    Luka Doncic melakukan serangan ke arah jaring menentang Rudy Gobert, pada separuh masa pertama Perlawanan 2 Siri Playoff Pusingan Pertama NBA di Los Angeles, pada 22 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda